fbpx

Noor Hisham antara 5 penerima khas Pingat kebesaran JBPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Hamdan menyerahkan pingat kepada Ras Adiba sambil disaksikan Noor Hisham (dua kanan) dalam istiadat berkenaan.

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah antara penerima khas Pingat Ketua Pengarah (PKP) pada Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Empat lagi penerima khas pingat dalam istiadat yang disempurnakan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid itu turut diberikan kepada Ahli Dewan Negara, Datuk Ras Adiba Radzi dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr. Aminuddin Hassim.

Selain itu ialah bekas Ketua Pengarah Nadma, Datuk Mohtar Mohd. Abd. Rahman dan Pengarah Eksekutif Sunway Centre for Planetary Health, Tan Sri Jemilah Mahmood.

Pada masa sama, tiga Pengarah Bomba Negeri turut menerima pingat PKP antaranya adalah Dr. Wan Mohamad Zaidi Wan Isa (Pengarah JBPM Pahang); Md. Hilman Abd. Rashid ( Pengarah JBPM Terengganu) dan Jainal @Zainal Madasin (Pengarah JBPM Kelantan).

Dalam pada itu, seramai empat pengamal media termasuk Wartawan Utusan Malaysia, Maisarah Sheikh Rahim menerima Pingat Cemerlang Bomba (PCB) manakala seorang lagi pengamal media antara 19 penerima Pingat Setia Bomba (PSB).

Sembilan individu pula dikurniakan Pingat Jasa Bomba (PJB) dan 32 lagi individu dianugerahkan PCB menjadikan jumlah keseluruhan penerima pingat kebesaran JBPM tahun ini seramai 72 orang.

Sementara itu, Mohammad Hamdan dalam ucapannya berkata, penganugerahan pingat ini sebagai tanda penghargaan dan penghormatan yang tinggi kepada individu yang istimewa yang telah menyumbang kepada pembangunan organisasi perkhidmatan kebombaan.

Menurutnya, penerima juga memainkan peranan luar biasa dalam menabur jasa dan bakti bagi mendepani isu kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI