fbpx

Hati-hati YB, rakyat sudah tunjuk kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

POLITIK itu indah, bila diisi oleh orang-orang yang bermaruah. Namun, politik juga boleh jadi malapetaka, bila mana dikuasai oleh manusia bersifat celaka.

Ramai yang mengejar dunia melalui pentas politik, tidak kira sebagai pemimpin, pengikut atau ‘tukang kipas’. Kesan daripada politik ini mampu mengubah segala-galanya.

Bekas Presiden Indonesia, Gus Dur ada mengingatkan bahawa apa yang lebih penting daripada politik sebenarnya ialah sebuah kekuasaan. Dengan kekuasaan, seseorang atau sesebuah organisasi politik itu akan mendapat penghormatan dan mampu memiliki ‘segala-segalanya’.

Kemewahan hidup boleh dicipta sekelip mata, manakala undang-undang pula boleh diubah serta-merta. Paling teruk, kekuasaan juga boleh membuatkan seorang ahli politik itu menjual maruahnya.

Walau apa sekalipun alasan yang diberikan, tindakan ‘melompat’sehingga mencetuskan pergolakan dalam politik adalah satu bentuk pengkhianatan kepada pengundi. Sejarah telah membuktikan, jangka hayat ‘YB Katak’ biasanya tidak berpanjangan.

Lihat sahaja senario politik di Sabah, berapa ramai bekas ‘YB-YB Katak’ kini cuma memegang status sebagai ‘YB Pencen’.

Terbaharu, rakyat Melaka telah memberi isyarat jelas bahawa pengkhianatan kepada rakyat akan dibalas dengan kekalahan.

Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berakhir Ahad lalu menjadi pentas pengajaran buat orang-orang politik.

Isyarat daripada rakyat sangat jelas, jangan sesekali khianati kepercayaan yang diberikan. Hakikatnya, siapapun yang memerintah dan parti mana sekalipun yang berkuasa, pemenang mutlak adalah rakyat.

Pengaruh, pengalaman dan populariti yang dimiliki juga bukan jaminan kepada mana-mana ahli politik untuk mencipta kemenangan.

Apa yang rakyat perlukan adalah seorang YB tidak sombong. Seorang wakil rakyat yang mudah didekati, mesra, hormat kepada pengundi-pengundinya.

Rakyat tidak perlukan seorang YB yang berkereta dan berumah besar, tetapi cukup dengan berjiwa besar, sentiasa jaga amanah dan bekerja untuk rakyat.

Rasanya, masih belum terlambat buat YB-YB di seluruh negara, baik di peringkat negeri mahupun parlimen untuk ‘membeli jiwa’ pengundi masing-masing.

Beringatlah, jangka hayat seorang YB itu tidak lama dan kelebihan yang ada boleh ditarik dengan sekelip mata. Jadilah YB – Yang Berkhidmat dan bukannya bangga dengan gelaran sementara, Yang Berhormat.

Sekurang-kurangnya, kalaupun tewas dalam Pilihan Raya Umum kelak, biarlah tewas dengan penuh maruah dan bukannya hilang wang deposit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI