fbpx

Semalam terlalu gementar, emosi fikir anak-anak – Fazley Yaakob

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAZLEY berjanji untuk melakukan yang lebih baik untuk persembahannya pada minggu kedua GV8 Ahad depan.

PETALING JAYA – Cef selebriti yang juga seorang penyanyi, Datuk Fazley Yaakob memohon maaf andai persembahannya pada pentas Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) malam tadi menghampakan peminat.

Kata Fazley, 43, pentas GV8 sangat besar dan perasaannya ketika menyampaikan persembahan minggu pertama malam tadi diibaratkan berada di hujung padang bola.

“Memang gementar habis. Sekian lama tak menyanyi atas pentas besar. Hanya menyanyi sambil memasak di dapur.

“Maafkan saya buat mereka yang hampa, terima kasih buat mereka yang memahami. Syukur buat mereka yang masih sudi memberikan semangat. Insya-Allah, saya akan cuba lebih baik minggu hadapan dengan lagu Abang Hasnol, Laguku Untukmu,” tulisnya dalam hantaran menerusi Instagramnya.

Menerusi perkongsian tersebut, juara MasterChef Selebriti Malaysia musim pertama itu memuat naik tangkap layar ciapan yang ditulisnya dalam Twitter.

Dalam ciapan berkenaan, Fazley memohon maaf atas persembahan yang sangat kurang memuaskan daripadanya semalam.

“Sememangnya dah hampir 10 tahun tak buat persembahan pentas.

“Saya terlalu gementar dan sedikit emosi terkenangkan anak-anak. Insya-Allah, minggu hadapan akan lebih baik,” ciapnya.

Perkongsian bapa kepada tiga cahaya mata itu mendapat respons positif daripada pengikut Instagramnya yang terbuka hati menerima ‘kekurangan’ persembahannya malam tadi.

Malah mereka percaya, persembahan malam tadi hanyalah permulaan dan Fazley mampu melakukan yang lebih baik pada minggu-minggu mendatang.

Malam semalam, Fazley memulakan saingan pada minggu pertama GV8 dengan menyampaikan lagu hitnya berjudul Asmara.

Bagaimanapun, persembahannya mendapat kutipan markah paling rendah berbanding 12 bintang lain iaitu sebanyak 53.6 peratus.

Tempat pertama diduduki Aliff Aziz yang menyampaikan lagu popularnya, Sayang Sayang dengan mengutip markah sebanyak 74.6 peratus. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI