fbpx

Laluan khas Orang Asli ke UPNM, luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMAIL SABRI YAAKOB (tiga dari kanan) beramah mesra dengan masyarakat Orang Asli pada program walkabout.

BERA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan terus memberi perhatian serius dalam meningkatkan pendidikan masyarakat Orang Asli di seluruh negara melalui pelbagai bantuan dan inisiatif berterusan termasuklah memudahkan kemasukan ke institusi pengajian tinggi.

Beliau berkata selain menyasarkan sekurang-kurangnya 10 anak Orang Asli melanjutkan pelajaran ke luar negara melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara), inisiatif terbaharu akan dilaksanakan dengan Program Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi memudahkan kemasukan anak Orang Asli ke universiti tersebut.

“Inisiatif Program Laluan Khas Kemasukan pelajar Orang Asli ke UPNM ini sedang diperhalusi dan bakal dilaksanakan seawal tahun hadapan dan saya mengucapkan tahniah kepada UPNM dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) atas kolaborasi strategik ini.

“Kita yakin satu hari nanti kita akan dapat menyaksikan lebih ramai lagi anak-anak Orang Asli yang berpeluang untuk mengikuti pengajian tinggi di universiti dan berjaya sebagai profesional yang lahir daripada UPNM.

“Setakat hari ini pun sudah ramai masyarakat Orang Asli ada Sarjana dan Doktor Falsafah,”katanya pada program walkabout Perdana Menteri sempena Program Khidmat Komuniti Bersama UPNM dan Jakoa dengan kerjasama Parlimen Bera di padang Sekolah Kebangsaan Bukit Rok di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Norol azali Sulaiman; Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dan Ketua Pengarah Jakoa, Sapiah Mohd. Nor.

Dalam pada itu beliau menegaskan bahawa tindakan meletakkan kembali Jakoa yang sebelum ini berada di bawah Jabatan Perdana Menteri di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) amat signifikan dalam memajukan masyarakat itu.

Katanya, langkah itu membolehkan KPLB yang memberi fokus kepada pembangunan luar bandar dapat memberikan tumpuan kepada pembangunan dan kemajuan masyarakat Orang Asli.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI