fbpx

Bank Rakyat terima anugerah Kecemerlangan Dalam CSR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Abdul Aziz (kiri) menerima anugerah yang disampaikan oleh Noh di Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA – Bank Rakyat telah berjaya meraih anugerah Kecemerlangan Dalam CSR pada Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Bumiputera 2021 (BBEA 2021).

BBEA 2021 julung kalinya telah diadakan bertujuan untuk memberi penghargaan kepada usahawan dan perniagaan bumiputera daripada pelbagai industri serta selebriti atas inovasi, sumbangan dan pencapaian mereka walaupun berdepan dengan cabaran akibat pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata,  pengiktirafan tersebut adalah hasil daripada impak positif terhadap penglibatan dan komitmen berterusan bank dalam melaksanakan inisiatif jangkauan komunitinya.

Menurut beliau, sumbangan  seperti pemberian bantuan barang keperluan harian dan makanan asas bertujuan untuk memenuhi keperluan masyarakat yang memerlukan termasuk golongan usahawan, pelajar B40 serta penduduk yang terjejas akibat bencana.

“Anugerah ini turut mengiktiraf sumbangan Bank Rakyat menerusi program Nuri Nutrisi yang telah dilancarkan sejak Januari 2019.

“Program ini bertujuan untuk mencorakkan kehidupan lestari masyarakat setempat dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan status nutrisi pelajar sekolah yang tidak berkemampuan, di samping menjaga keperluan sosial komuniti setempat seiring,” katanya dalam kenyataan.

Majlis penyampaian anugerah  Kecemerlangan Dalam CSR itu disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh  Omar kepada Syed Abdul Aziz di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain itu, Syed Abdul Aziz menjelaskan, Bank Rakyat juga melaksanakan program keusahawanan seperti RAKYATpreneur bagi menyantuni usahawan asnaf yang berpotensi menerusi penyediaan dana perniagaan termasuk modul latihan dan bimbingan dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran keusahawanan mereka.

“Kami juga memperkenalkan Program Rintis UNIpreneur dengan kerjasama institusi pengajian tinggi (IPT) untuk membantu usahawan siswa daripada golongan asnaf mengembangkan perniagaan mereka dalam persekitaran ekonomi yang mencabar akibat penularan Covid-19,” ujarnya.

Tambah beliau, penghargaan terhadap usaha Bank Rakyat ini memberi dorongan dan galakan kepada Bank berkenaan untuk merancang pelaksanaan inisiatif jangkauan komunitinya pada masa akan datang bagi terus menyantuni golongan yang memerlukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI