fbpx

Tiada lagi ‘kebenaran’ dalam filem BoboiBoy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Watak Papa Zola digugurkan dalam filem terbaharu BoboiBoy.

PETALING JAYA – Pencipta kepada animasi Boboiboy baru-baru ini telah berkongsi bahawa watak Papa Zola tidak akan muncul lagi selepas ini setelah menerima pandangan orang ramai.

Menerusi perkongsian Nizam Abd Razak di laman sosial Facebook semalam, dia mengesahkan Papa Zola tiada tempat di dalam filem terbaru Boboiboy walaupun telah mengajukan idea baru.

“Selepas membaca komen dan pandangan dari anda semua, kini saya mengesahkan bahawa Papa Zola akan digugurkan di dalam ‘movie’ terbaru Boboiboy. Idea untuk menggabungkan watak Papa Zola dan Gopal pun tidak diterima,” katanya di dalam Facebook semalam.

Tambahnya lagi, beliau berkongsi kisah bagaimana Papa Zola ini boleh tercipta dalam siri Boboiboy dan kemungkinan watak itu akan muncul kembali dalam siri animasi yang baru.

“Masa mula-mula dapat idea Papa Zola ialah ketika dalam perjalanan waktu malam dari Jitra ke Shah Alam. Isteri dan anak-anak sudah tidur, untuk elak rasa mengantuk dan bosan, saya cuba fikir tentang watak baru dalam siri BoboiBoy.

“Saya fikir nak cipta watak yang lucu tetapi masih masuk akal. Watak yang bercakap benar tetapi selalu mengelat, watak yang dibenci tetapi juga disayangi. Maka lahirlah idea untuk siri animasi BoboiBoy Papa Zola dengan ‘tagline’ kebenaran.

“Walaupun Papa Zola tidak akan muncul dalam BoboiBoy ‘movie’, ini tidak bermakna kebenaran akan terpadam buat selamanya. Papa Zola akan terus beraksi dengan lawak basi dalam siri Papa Pipi dan beberapa perancangan lagi,” ujarnya lagi.

Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna media sosial berasa terkesan dengan ketiadaan Papa Zola dan orang ramai juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada watak tersebut.

“Terima Kasih Papa Zola kerana menceriakan kami, setiap kali dia muncul akan datangkan gelak ketawa kerana perwatakannya yang kelakar dan sudah tiba masanya untuk Papa Zola bersama dengan orang yang tersayang,” jelas Muhammad Faris.

“Saya tak setuju watak Papa Zola digugurkan, dia adalah penyeri cerita Boboiboy. Selain dari kuasa Boboiboy kita akan teringat lawak Papa Zola yang tidak dapat dilupakan,” kata Zaky Qursany.

“Papa Zola terlalu hebat, ini semua agenda Adudu nak jatuhkan dia selepas ini tiada lagi kebenaran yang tinggal hanyalah penipuan,” ujar Alif Firdaus.

Papa Zola ialah watak dalam siri BoBoiBoy, dia merupakan seorang adiwira lagenda dalam francais yang bertajuk namanya sendiri. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI