fbpx
ANTARA fesyen unik yang pernah digayakan Aina sebelum ini.

Gaya ‘berani mati’, estetik Aina Abdul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERANI berekperimentasi dalam berfesyen meletakkan Aina Abdul antara figura seni muzik yang menyerlah setiap kali menghadiri acara besar industri hiburan.

Lihat saja penampilannya di karpet merah Anugerah Bintang Popular (ABP) ke-34 bersama lilitan bunga gergasi pada bahagian kepala yang dipadankan bersama gaun serba hitam.

Sudah tiga hari berlalu, namun busana ‘avant-garde’ sentuhan Behati yang dikatakan simbolik kepada bunga mawar dalam video muzik terbaharunya berjudul Aina Abdul masih menjadi buah mulut ramai.

Di sebalik keterujaan peminat yang melihat gaya penyanyi Sumpah itu sebagai transisi keberanian berekperimentasi dalam berfesyen, tidak kurang komen nakal berpusu-pusu mencelah.

GAUN hitam dipadankan dengan ‘headgear’ kelopak mawar yang dipakai Aina ketika di karpet merah ABP34 menjadi bualan ramai.

Menyelak semula kemunculan penyanyi itu dalam majlis seumpamanya beberapa tahun kebelakangan ini, pasti ramai menyedari transisinya yang semakin berani dan garang.

Dalam erti kata lain, Aina sebenarnya antara anak seni berhati waja yang bijak mempertimbangkan kewajaran sesuatu keputusan dilakukan terutama membabitkan kerjaya seninya.

Seperti diluahkan pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani, 28, itu, kritikan juga antara promosi yang perlu diterima dengan hati terbuka.

Pada awal kemaraan sekitar 2014 selepas bergelar naib juara Mentor Legend disusuli kemenangan Vocalist of the World Malaysia di World Championship of Performing Arts (WCOPA), Aina seakan-akan masih mencari imej diri.

BUSANA digayakan Aina pada pentas AJL34 tahun lalu pernah mencetuskan polemik kerana didakwa membawa mesej bunuh diri gara-gara cecair berwarna merah simbolik kepada darah mengalir daripada lehernya.

Dari segi vokal, memang tidak dapat dinafikan dia mempunyai kelebihan dan tidak pernah pulang dengan tangan kosong sejak aktif menyertai pertandingan besar bermula pada 2010.

Malah ketika itu, ramai yang menganggap selera fesyen Aina tidak kena selain mengatakan penampilannya yang ‘biasa-biasa’ membuatkan dia kurang mendapat perhatian biarpun vokal serta setiap dendangan mampu meremangkan bulu roma.

Kini seiring kematangan dan memiliki pasukan sokongan yang kuat, ramai sudah mula membuka mata sehingga tertunggu-tunggu kemunculannya di mana-mana acara besar.

PAKAIAN hitam yang diperagakan penyanyi ini pada pentas AJL35 menerusi lagu Semalam merupakan kesinambungan daripada busana berdarah ketika AJL34.

Selepas Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-34 yang menyaksikan persembahan ‘berdarah’ penyanyi itu sehingga mencetuskan polemik, dia semakin garang beraksi dengan acuan imej dan busana di luar kotak.

Biarpun berhijab, dia masih berpada-pada agar tidak tersasar daripada niat asal untuk bergaya.

Transisi fesyen penyanyi yang juga komposer itu boleh dilihat dari pelbagai persepsi setiap mata memandang, sama ada berani, pelik mahupun menyerlah.

Ternyata, Aina kini selaku ‘trendsetter’ kerana mampu membawa apa saja jenis gaya yang membaluti tubuhnya.

POPULAR