fbpx

Pelajar cemerlang maut tak sempat sambung pengajian di Mesir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Remaja maut dalam kemalangan di Jalan Baru Baling-Kupang pada pagi ini.

BALING – Impian seorang remaja lelaki untuk menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar di Mesir pada hujung bulan ini tidak kesampaian selepas dia maut dalam kemalangan di Simpang Empat Charok Nau, Jalan Baru Baling-Kupang di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 11.49 pagi itu, mangsa, Muhammad Munzir Abdul Razak, 19, merupakan bekas pelajar tahfiz Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah, Kupang dekat sini dilaporkan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

Arwah Muhammad Munzir pernah menerima anugerah Pelajar Terbaik Sekolah-Sekolah Agama Negeri Kedah pada tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, kemalangan berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser dipandu lelaki berusia 49 tahun dalam perjalanan dari arah Pekan Baling ke Kupang.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dikatakan keluar dari simpang di sebelah kiri jalan dari Taman Harmoni secara mengejut,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, MPV tersebut terlanggar bahagian hadapan motosikal menyebabkan mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan meninggal dunia.

Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Razak Saleh, 53, memberitahu, segala persiapan anaknya berangkat ke Mesir pada hujung bulan ini telah disediakan.

“Arwah amat teruja untuk menyambung pengajian dan segala persiapan telah dilakukan, cuma menunggu tarikh berangkat.

“Semalam arwah ke Baling dan menumpang bermalam di rumah kawan baiknya kerana dia akan melakukan ujian menunggang motosikal dan telah lulus pagi tadi,” katanya. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI