fbpx

Pengusaha premis judi disaran teroka perniagaan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

ALOR SETAR – Pengusaha premis judi di negeri ini disarankan untuk beralih kepada perniagaan lain susulan keputusan kerajaan negeri tidak lagi mengeluarkan lesen baharu kepada premis tersebut berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kalangan mereka yang terlibat boleh mencari perniagaan lain dengan meneroka bidang baharu seperti sektor makanan.

“Kita berharap pengusaha boleh cari alternatif lain. Ada yang terjejas semasa pandemik Covid-19 meneroka bidang perniagaan baharu.

“Ada kedai perabot tukar kepada kedai makan. Macam-macam kita boleh buat untuk hidup,” katanya pada sidang akhbar selepas persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah ke-14 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Berhubung kesan penutupan premis judi termasuk daripada aspek kehilangan kerja, kata beliau, pekerja dalam premis tersebut tidak ramai dan biasanya hanya seorang hingga dua orang menjaga kaunter.

“Tidak berapa ramai yang terlibat berbanding kerosakan yang berlaku,” ujarnya.

Kosmo! hari ini melaporkan Kerajaan Negeri Kedah memutuskan tiada lagi lesen premis judi baharu yang akan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkuat kuasa serta-merta. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI