fbpx

Tulang belakang saya senget – Reen Rahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REEN RAHIM

PETALING JAYA – Akibat terlalu lasak mengalahkan lelaki, pelakon Reen Rahim memberitahu tulang belakangnya mengalami kecederaan dan terpaksa menjalani pembedahan segera.

Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim berkata, dia bagaimanapun selamat menjalani pembedahan tersebut bagi memperbetulkan semula tulang belakang yang beralih dari kedudukan asal.

“Alhamdulillah saya okey je. Doktor beritahu saya mengalami kecederaan ringan pada tulang belakang tapi bukan dalam keadaan yang teruk sangat. Jadi nak tak nak memang kena buat sedikit pembedahan kecil untuk pulihkannya.

“Saya pula dari kecil memang jenis lasak mengalahkan budak lelaki. Jadi tak mustahillah boleh kena macam ni. Nasiblah saya dapatkan rawatan awal sebelum jadi lebih teruk,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah pelakon yang mula dikenali menerusi drama Pujaan Hati Kanda itu, doktor turut menasihatkannya untuk berehat selama dua minggu dan berhenti untuk melakukan perkara-perkara lasak buat sementara waktu ini.

“Doktor pesan kalau boleh seminggu dua ni rehat dulu dan jangan buat benda-benda lasak lagi untuk rehatkan tulang belakang yang cedera sebelum ini.

“Untuk seminggu ni saya memang rehat di rumah sahaja. Insya-Allah kalau tiada apa-apa hal, 15 November depan dah boleh masuk ke set semula untuk penggambaran,” katanya.

Pada masa sama, Reen yang dibenarkan keluar hospital dan pulang ke rumah petang ini mengingatkan mereka yang lasak sepertinya untuk sentiasa berhati-hati sebelum apa-apa yang tidak diingini berlaku.

“Untuk yang aktif dan lasak tak boleh duduk diam macam saya, berhati-hatilah semua. Jangan dah jadi macam saya baru nak menyesal.

“Kita kalau boleh memang tak nak masuk hospital apatah lagi ‘menginap’ di wad, tapi dah sakit terpaksalah juga mengalah untuk kebaikan sendiri,” ujarnya.

Terdahulu, Reen, 34, menerusi muat naik dalam Instagramnya memaparkan tangan kirinya yang dicucuk drip dan dipercayai sedang menerima rawatan di salah sebuah hospital di Klang, Selangor.

“Doakan Reen okey. Minta maaf pada semua yang Reen terpaksa cancel (batal) mesyuarat, acara dan sebagainya untuk minggu ini,” tulisnya pada ruangan kapsyen hantaran tersebut.

Sebelum ini, pada Hari Raya Aidilfitri lepas, kesihatan Reen turut diuji selepas disahkan positif Covid-19 dan terpaksa beraya serta menjalani kuarantin kendiri secara berasingan daripada keluarga tersayang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI