fbpx

RM40 juta atasi banjir di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Izham ketika sidang akhbar di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memperuntukkan kos berjumlah hampir RM40 juta bagi melaksanakan projek pembaikan di 50 kawasan utama banjir di negeri ini.

Lokasi itu antaranya melibatkan Seksyen 13, di sini; Taman Meru Daya (Klang);  Kampung Salak Tinggi (Sepang) dan Selayang Baru (Gombak).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ir. Izham Hashim berkata, tindakan segera itu antaranya meliputi RM25.7 juta  bagi kerja mengorek dan mendalamkan sungai serta kolam.

“Selain itu, ia melibatkan pembinaan dan menaik taraf ban selain memasang pam baharu serta merobohkan struktur haram dalam rizab sungai.

“Sejumlah RM4 juta pula diperuntukkan bagi membina kolam takungan Bluewater, Seri Kembangan dan RM10 juta untuk kolam takungan banjir di Lebuhraya Grand Shapadu berdekatanTaman Mutiara Bukit Raja,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Jelas beliau, pelaksanaan projek itu bertujuan mengurangkan kekerapan dan kesan banjir terhadap penduduk di semua kawasan berkenaan.

“Kita memahami bencana banjir mengakibatkan mangsa terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda.

“Justeru, semua kerja pembaikan  akan bermula dalam tempoh terdekat dan dijangka siap secara berperingkat sehingga April tahun depan,” ujarnya.

Tambah Izham, punca utama banjir akibat jumlah taburan hujan tinggi melebihi 65 milimeter dalam tempoh singkat selain sistem saliran dan sungai yang tidak mampu menampung kapasiti aliran.

“Selain itu, kepesatan pembangunan menjadi faktor kekerapan banjir dan halangan struktur bangunan haram dalam rizab sungai memberi kesan terhadap kelancaran aliran air,” katanya.

Pada 26 September lalu, pekarangan Stadium Malawati dan kawasan berhampiran di Seksyen 13 digenangi air sehingga 1.2 meter selepas hujan lebih sejam di bandar raya ini.

Keadaan itu menyebabkan ada kereta ditenggelami air sebelum pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dari Balai Bomba Shah Alam tiba di tempat kejadian. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI