TAMPIN – Seorang penternak tilapia merah di Felda Bukit Rokan di sini berputih mata apabila hampir separuh ternakan ikannya yang baru berusia dua bulan terlepas ke parit dalam kejadian banjir kilat baru-baru ini.
Zulkifli Abdullah, 63, berkata, sejak petang Jumaat lalu, sudah dua kali ternakan ikannya terlepas keluar dari kolam tersebut yang pecah ketika hujan lebat.
Menurutnya yang juga Imam 1 Masjid Kariah Felda Bukit Rokan, kejadian terbaharu adalah petang Isnin lalu yang menyebabkan ikan bersaiz masih kecil terlepas ke dalam parit berdekatan.
“Kolam ini ada nilai sentimental kepada kami sekeluarga. Ayah, Abdullah Sekandar, 86, adalah antara peneroka awal yang sama-sama mengusahakan enam kolam ikan sejak awal tahun 70-an di tanah rezab Felda.
“Sekarang, saya dan abang sulung, Wahid Abdullah, 64, mengusahakan kolam ini bersama-sama,” katanya ketika ditemui di Felda Bukit Rokan di sini semalam.
Zulkifli memberitahu, dua bulan lalu, mereka baru sahaja memasukkan sebanyak 2,500 benih ikan tilapia merah.
Katanya, ikan-ikan itu adalah untuk pasaran di kawasan Felda tersebut dan dijual pada harga RM12 sekilogram.
“Saya tidak tahu berapa banyak kerugian yang terpaksa ditanggung kami memandangkan makanan ikan iaitu dedak juga agak mahal. Saya baru sahaja menerima bantuan dedak daripada Jabatan Perikanan untuk ikan-ikannya itu,” katanya.
Menurutnya, dia bimbang jika kejadian itu berulang dan kolam ternakan yang sepatutnya mengeluarkan hasil dalam tempoh tiga hingga empat bulan lagi hanya tinggal sedikit ikan sahaja.
“Sudah lama kawasan ini tidak dilanda banjir, namun dalam setahun ini, kejadian banjir kilat kerap berlaku di sini.
“Saya harap pihak berkaitan dapat mencari punca sebenar banjir kilat yang berlaku sama ada disebabkan masalah sistem saliran atau sungai,” ujarnya.-K! ONLINE














