fbpx

Pemotong kelapa sawit didakwa bunuh adik ipar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amir Sharif (kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Pasir Mas hari ini untuk menghadapi pertuduhan membunuh adik iparnya dua minggu lalu.- FOTO ZULHANIFA SIDEK

PASIR MAS – Seorang pemotong kelapa sawit dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh adik iparnya di sebuah rumah di Kampung Apa-Apa, di sini kira-kira dua minggu lalu.

Tertuduh, Amir Sharif Muhamad, 30, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Yusoff Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh adik iparnya yang merupakan seorang gadis berusia 17 tahun.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di sebuah rumah di Kampung Apa-Apa, Bunut Susu di sini kira-kira pukul 8 hingga 9 pagi pada 29 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 14 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang pemotong kelapa sawit selepas disyaki tergamak merogol dan membunuh adik iparnya yang berusia 17 tahun.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, suspek ditahan oleh sepasukan anggota polis di pos keselamatan Sekolah Kebangsaan Bakong di sini kira-kira pukul 4 petang pada 30 Oktober lalu.

Menurutnya, hasil bedah siasat terhadap mangsa di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu mengesahkan bahawa mangsa meninggal dunia akibat lemas udara.

“Hasil pemeriksaan pada bahagian badan mangsa mendapati ada kesan luka pada muka, tengkok dan koyakan baharu di bahagian kemaluannya.

“Selain itu, terdapat kesan calar pada bahagian bahu kiri bahagian belakang dipercayai berpunca daripada cakaran kuku,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI