fbpx

Bantuan zakat ringankan beban 134 usahawan asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMARUDIN (dua dari kiri) bersama Asmadi (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan zakat kepada peniaga golongan asnaf di Kuantan semalam.

KUANTAN – Sebanyak RM134,000 zakat perniagaan diagihkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kepada usahawan daripada golongan asnaf yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini

Pengarah SSM Pahang, Kamarudin Mohd. Daut berkata, setiap usahawan asnaf terbabit menerima RM1,000 bagi membantu meringankan beban mereka yang tidak dapat menjalankan perniagaan dalam tempoh yang agak lama akibat pandemik Covid-19.

“Sebelum ini kita turut menyediakan bantuan berbentuk kewangan antara RM300 hingga RM500 kepada masyarakat pelbagai kaum yang terkesan berikutan PKP disebabkan wabak Covid-19.

“Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini antara bukti keprihatinan SSM pada golongan yang terkesan dengan PKP,”katanya pada majlis penyerahan sumbangan SSM kepada usahawan asnaf negeri Pahang di sini semalam.

Yang hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) Dr. Asmadi Abdul Rahman.

Menurut Kamarudin pihaknya mendapat kerjasama penuh daripada (Muip) dalam program agihan bantuan zakat kepada golongan usahawan asnaf di negeri ini.

Katanya, penerima bantuan zakat berkenaan terdiri daripada usahawan kecil yang menjalankan perniagaan makananan dengan syarat perniagaan yang diusahakan berdaftar dengan SSM.

Tambahnya, bantuan zakat yang diberikan diharap dapat dijadikan modal tambahan kepada usahawan untuk meneruskan semula perniagaan yang diusahakan.

“Saya sudah menyatakan hasrat kepada Muip bahawa SSM akan menambahkan lagi bantuan zakat kepada usahawan asnaf di negeri, saya yakin masih ramai lagi golongan usahawan kecil memerlukan sokongan.

“Kita ingin memastikan semua usahawan asnaf tidak putus asas untuk meneruskan perniagaan yang telah diusahakan,”ujarnya.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI