fbpx

Penasihat ketenteraan luar negara lawat tapak Pertempuran Kampar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shaharom yang berpakaian seperti tentera British memberi penerangan kepada beberapa penasihat ketenteraan luar negara serta ahli keluarga mereka semasa melawat tapak Pertempuran Kampar semalam.

KAMPAR – Lokasi Pertempuran Kampar semasa Perang Dunia Kedua di Green Ridge di sini menerima kunjungan pegawai penasihat ketenteraan dari beberapa kedutaan di Kuala Lumpur disertai ahli keluarga mereka bagi melihat kesan-kesan sejarahnya semalam.

Kunjungan ini menerusi program Jejak Perang Dunia Kedua di Perak inisiatif Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG) yang telah dirancang sejak tahun lalu tetapi tergendala kerana pandemik.

Ketua Penyelidik dan Pengerusi MHG, Shaharom Ahmad berkata, mereka dibawa melawat dan meninjau kesan peninggalan tapak sejarah yang masih terdapat seperti kubu pertahanan, lorong perhubungan dan diberi penerangan ringkas tentang peristiwa tersebut.

Menurut beliau, lawatan itu juga bagi mengetengahkan sejarah Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu yang turut melibatkan tentera British, Australia dan India.

“Selepas selesai melawat tapak sejarah Green Ridge, mereka dibawa pula melawat tapak sejarah Jambatan Kuala Dipang yang menjadi saksi pertempuran Perang Dunia Kedua pada 29 Disember 1941.

“Mereka dibawa melihat kesan pertempuran dan tinggalan sisa jambatan yang dimusnahkan oleh tentera British. Pada petangnya, mereka melawat kesan sejarah di Trolak dan Slim River yang menjadi saksi kepada Pertempuran Slim pada 7 Januari 1942,” ujarnya kepada Kosmo!

Bagi menghidupkan lawatan, Shaharom bersama Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee memakai pakaian sepertimana tentera British dan sukarelawan Federated Malay State Volunteers (FMSVF) semasa Perang Dunia Kedua.

Pada sesi itu juga, perbincangan dilakukan dengan setiap dari pegawai penasihat ketenteraan tersebut selain memberikan komen dan cadangan.

Selepas melawat dan diberi penerangan ringkas di Pekan Trolak, mereka dibawa melalui laluan lama Persekutuan sehingga tiba ke Pekan Slim River dan seterusnya menuju ke Slim Village.

Menurut Shaharom lagi, hujan yang turun tidak mematahkan semangat pegawai-pegawai dan ahli keluarga mereka ini melawat jambatan di Slim Village yang menjadi saksi kepada pengakhiran Pertempuran Slim. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN