fbpx

Umar Uzair mahu ‘pinang’ Wany Hasrita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UMAR UZAIR

LEBIH sedekad memperjuangkan genre lagu puisi tidak pernah melelahkan, jejaka bernama Umair Uzair berusaha mencari kelainan bagi menarik lebih ramai khalayak mendekati genre berkenaan

Dalam masa sama, penyanyi berusia 34 tahun itu tetap berazam mengekalkan keindahan santunan dendangan dihasilkan.

Sebagai usaha melestarikan niatnya, Umair menyimpan impian untuk menjalin kerjasama penyanyi Wany Hasrita bagi menarik lebih ramai pendengar lagu puisi dalam kalangan pendengar muda.

Dia berharap, perancangan tersebut dapat direalisasikan tahun depan.

“Sepanjang tempoh ini saya sudah muncul bersama dua album penuh dan memang punya perancangan untuk menerbitkan album ketiga yang tentu saja mahukan suntikan elemen lebih segar.

“Sebagai pengkarya saya sedia menyahut cabaran untuk berkolaborasi dengan mana-mana penyanyi tidak kira genre untuk tampil bersama lagu duet.

“Antaranya adalah penyanyi muda Wany Hasrita yang saya percaya mempunyai ramai peminat tegar yang menyukai lenggok vokalnya.

“Setakat ini baru dalam perancangan dan pihak saya belum menghubungi pengurusannya. Namun dari segi bahan, ada beberapa lagu yang sudah siap.

“Kolaborasi begini bukan sekadar untuk kelainan, sebaliknya serampang dua mata untuk dikongsikan dengan negara serumpun lain yang turut mengikuti perkembangan muzik tanah air,” katanya.

Biarpun tidak popular seperti penyanyi genre lain, Umar bersyukur apabila genre diperjuangkan tetap mendapat tempat di hati ramai, terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Hakikatnya ada ramai peminat lagu puisi, terutama dalam kalangan penuntut pusat pengajian tinggi berdasarkan persembahan dan komen dalam media sosial.

“Alhamdulillah, ketika musim PKP ada juga kami buat persembahan virtual yang turut disertai penyanyi dari negara jiran. Biarpun tidak dapat sepentas seperti tahun-tahun sebelumnya, ini sangat menyeronokkan,” katanya.

Terbaharu, anak jati Johor itu tampil bersama karya berjudul Bertemu Di Sini yang terpilih sebagai lagu rasmi Pameran Seni Antarabangsa Meraki 21. Pameran tersebut berlangsung pada 30 Oktober hingga 6 Disember ini.

Terus bangkit selepas industri hiburan negara dibuka semula, Umar yang sebelum ini aktif mengadakan persembahan di luar negara juga bakal menjayakan Konsert Jundai Nusantara pada 4 Disember depan.

Dia juga tidak sabar untuk berkongsi pentas dengan nama-nama besar seperti Sasterawan Negara, Datuk Dr. Siti Zainon dan anak seni hebat, Puan Sri Tiara Jacquelina serta beberapa seniman lain.

“Kini saya sedang melakukan persediaan untuk konsert besar hujung tahun nanti. Sudah pasti saya teruja kerana agak lama asyik jumpa penonton secara maya.

“Kita doakan segala-galanya kembali pulih, sekali gus memberi kelegaan kepada semua, baik dari segi kesihatan, emosi mahu pun ekonomi,” luah penerima anugerah Penyair Muda ASEAN 2015 itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI