fbpx

Lebih banyak ‘Karen’ muncul Disember ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua kejadian wanita warga asing yang enggan memakai pelitup muka ke pusat beli-belah minggu lalu.

Minggu lalu, kecoh seorang wanita warga asing yang digelar ‘Karen’ oleh netizen membuat onar melanggar prosedur operasi standard (SOP) mengekang penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Wanita itu enggan memakai pelitup muka ketika mahu memasuki sebuah butik mewah di sebuah pusat beli-belah terkemuka negara. Dia kemudian dikompaun RM3,000 bagi dua kesalahan iaitu tidak mengimbas MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka.

Tidak hanya itu, drama ‘Karen’ berlaku lagi di pusat beli-belah lain beberapa hari selepas kejadian pertama.

‘Karen’ merujuk kepada sekelompok individu di luar negara yang menggunakan keistimewaan sebagai orang kulit putih untuk beberapa perkara seperti tidak mahu mengenakan pelitup muka dan kebenaran memotong barisan.

Tindakan ‘Karen’ itu menimbulkan kemarahan ramai sehingga ada yang meminta mereka pulang ke negara asal sekiranya tidak mahu mematuhi SOP negara ini.

Tidak kurang juga ada yang meminta mereka mematuhi undang-undang seterusnya menghormati peraturan negara ini.

Perlu diingat kita buat peraturan bagi mengekang Covid-19 bukan suka-suka dan sekadar menghiasi wajah, namun atas alasan kesihatan umum.

Benar, beberapa negara termasuk Belanda dan Itali tidak lagi menguatkuasakan pemakaian pelitup muka. Ada antaranya hanya mementingkan penjarakan fizikal.

Malah, penduduk di beberapa negara juga menikmati kebebasan apabila bebas pelitup muka ketika berada di dalam pengangkutan awam termasuk semasa menonton perlawanan bola.

Kita hormati pendirian negara berkenaan.

Rakyat Malaysia diwajibkan memakai pelitup muka sejak 1 Ogos 2020. Ini bermakna hampir 15 bulan peralatan itu ‘menghiasi’ wajah kita.

Kita patuh dan akur arahan kerana bukan sahaja tidak mahu didenda tetapi sebenarnya lebih takut dijangkiti Covid-19 kerana wabak berkenaan mudah merebak.

Perlu diingat, drama ‘Karen’ mungkin berulang apabila sektor pelancongan di seluruh negara dijangka dibuka kepada pelancong antarabangsa seawal Disember ini.

Sebelum itu, pelancong asing dibenarkan memasuki Malaysia menerusi Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi pada 15 November ini.

Sesungguhnya pembukaan itu sudah pasti dengan SOP ketat, namun penguat kuasa perlu memperhebatkan penguatkuasaan mengekang kumpulan yang enggan mematuhi SOP.

Wajar pelancong asing itu diuar-uarkan SOP negara agar dapat menghormati cara kita menangani penularan wabak Covid-19.

Jika masih culas, kenakan kompaun tinggi, tidak perlu penawaran kompaun seperti mana yang dilakukan pada masa ini.

Seperti ciapan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, “Bila berada di Rome, ikut cara Roman. Bila di Malaysia, tolong mask up tanpa mengira peraturan di tempat lain.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI