fbpx

Isu artis ‘kantoi’ dadah bukan perkara baharu, perlu diberi peluang kedua – Pekin Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pekin

PETALING JAYA – Isu artis terlibat dengan dadah bukan lagi satu perkara baharu, justeru pelakon Pekin Ibrahim berpendapat isu berkenaan tidak perlu diperbesarkan.

Menurut Pekin atau nama sebenarnya, Mohd. Iznan Ibrahim, 40, meskipun isu berkenaan memberi persepsi negatif masyarakat terhadap industri seni namun, baginya artis yang ditangkap kerana penyalahgunaan dadah sewajarnya diberi peluang kedua.

“Kita perlu memberi sokongan dan peluang kedua untuk mereka yang terlibat dengan dadah kembali bekerja. Bagi saya ini bukan satu isu besar,” ujar Pekin.

Tambah pelakon filem Rock Bro! itu lagi, perhatian berlebihan yang diberikan terhadap isu dadah dalam kalangan artis dilihat seperti tidak adil.

“Ramai lagi penagih dadah di Chow Kit, Kuala Lumpur yang sudah ditangkap, bukan orang yang bekerja dalam bidang kreatif sahaja.

“Mungkin hanya dikenali ramai dan berstatus artis, jadi kecoh satu Malaysia,” ujar Pekin yang menggulas isu tersebut pada sidang media virtual drama Keluarga Untuk Disewa semalam.

Jelas suami kepada pelakon Mona Allen itu, sebagai anak seni dia sudah lali dengan isu tersebut yang tidak pernah menemui titik noktah sejak dahulu lagi.

“Isu dadah ini kita tidak perlu diperbesarkan sebab sendiri boleh fikir dan beringat. Sebagai artis saya sendiri sudah penat dengar tentang isu ini dari tahun 1980-an lagi artis kita memang sudah ‘kantoi’ dadah.

“Saya rasa tidak seronok jika kita memperbesarkan isu ini, asyik dadah sahaja,” kata Pekin.

Dalam keadaan pandemik dan industri seni yang baru hendak bernafas kembali bagi Pekin adalah lebih baik memberi fokus untuk memajukan industri kreatif berbanding isu-isu yang memberi kesan negatif.

“Lebih baik kita tutup tentang dadah dan hanya fokus untuk memajukan industri seni serta memberi sokongan terhadap drama-drama tempatan,” ujar Pekin.

Terdahulu pelakon Niezam Zaidi, pengarah dan kru produksi mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dadah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, Perak.

Dalam pada itu, Pekin bersama Azhan Rani, Adibah Noor, Dynas Mokthar, Afifah Nasir, Fimie Don dan Fifi Laura bergandingan dalam sebuah drama komedi terbaharu berjudul Keluarga Untuk Disewa.

Drama arahan Raja Mukhriz itu telah mula ditayangkan di slot Diandra TV9 bermula 2 November lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI