fbpx

Varieti beras wangi terbaik dihasilkan MARDI tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Zabawi (kiri) ketika menerima jentera penyembur daripada Agricultural Chemicals (M) Sdn. Bhd di Kepala Batas hari ini.

SEBERANG PERAI – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menghasilkan varieti padi beras wangi terbaik terutama kepada pesakit kencing manis kerana mempunyai skor glisemik (GI) rendah menerusi varieti MRQ 103.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, penghasilan varieti itu merupakan antara strategi MARDI dalam menyediakan padi berimpak tinggi dalam masa sama menjaga kesihatan orang ramai.

Menurutnya, penghasilan MRQ 103 kini berada di peringkat akhir penyelidikan yang bermula pada 2009 dan ia termasuk dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0 dalam kategori beras istimewa yang kerajaan perkukuhkan untuk tujuan tempatan dan eksport.

“Ia adalah varieti wangi dan merupakan salah satu ciri baik berbanding yang kita isytihar pada tahun ini iaitu MRQ 104 atau Kembang Sari kerana ia mempunyai GI (lebih) rendah.

“Kita sasarkan kepada pengguna beras yang mengambil berat kesihatan terutamanya pesakit diabetes supaya gula tidak meningkat bila makan nasi,” katanya kepada pemberita di Kepala Batas hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sumbangan Prihatin Anjuran MARDI dan menerima sumbangan program khidmat masyarakat oleh syarikat Agricultural Chemicals (M) Sdn. Bhd. berupa sebuah jentera penyembur pelepasan tinggi pelbagai guna dengan corong baja untuk tujuan penyelidikan.

Sementara itu, Mohamad Zabawi berkata, MRQ 103 dijangka mula ditanam dan diperkenalkan di pasaran menjelang tahun depan.

“Kita sedang cari syarikat pengilang yang bersesuaian untuk hasilkan beras ini supaya tidak bercampur dengan varieti lain bagi mengelakkan kehilangan ciri baiknya,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berbeza, beliau berkata, setakat ini MARDI telah menghasilkan lebih 1,000 teknologi yang digunakan petani, usahawan dan syarikat dalam bentuk kegunaan awam atau komersial.

“MARDI telah hasilkan 52 varieti padi setakat ini dan hampir 90 peratus kawasan jelapang padi di Malaysia ditanam dgn varieti yang kita hasilkan.

“Satu-satu varieti ambil masa di antara lapan hingga 10 tahun dan kita akan sentiasa hasilkan yang lebih baik daripada sebelumnya dari segi hasil serta ketahanan kepada perosak dan penyakit,” katanya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI