fbpx
TIDAK mendapat kasih sayang daripada bapa pada masa kecil menyebabkan Liza menjadi seorang pendendam dan tidak mempedulikan orang tua itu pada mulanya yang datang menagih simpatinya selepas merempat. – GAMBAR HIASAN

Selepas merempat baru cari anak ditinggalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Setiap orang pasti melalui pengalaman tersendiri dalam kehidupan yang menjadi pengajaran berguna untuk dikongsikan dengan anak cucu pada masa depan.

Begitu juga dengan seorang wanita yang kisahnya dipaparkan dalam ruangan Pengakuan pada minggu ini yang diberi ujian paling hebat dalam hidupnya oleh Allah.

Dia berasa terpukul selepas bapanya yang menghilangkan diri tanopa menghiraukan keluarga sejak dia kecil datang untuk menumpang kasih selepas merempat dihalau isteri dan anak tirinya.
———————————————————————————————————————————-
SEJAK kecil Liza,38, (bukan nama sebenar) tidak merasa kasih seorang ayah kerana bapanya langsung tidak bertanggungjawab dan wanita itu bersama tiga lagi adiknya dibesarkan oleh nenek selepas kematian ibu.

Kesusahan hidup ketika usia kanak-kanak menyebabkan wanita tersebut terpaksa menggalas tanggungjawab menjaga adik-adiknya bagi meringankan beban nenek yang telah uzur.

Dia yang tiada tempat bergantung selepas kematian ibu kerana penyakit kanser hanya menumpang kasih dengan neneknya apabila bapa sendiri menghilangkan diri tanpa khabar berita.

“Ibu meninggal ketika saya berusia 10 tahun dan selepas menerima perkhabaran tersebut, dunia bagaikan terhenti seketika.

“Saya terlalu risaukan nasib kami tiga beradik kerana ibu yang menggalas tugas sebagai ketua keluarga selepas ayah berkahwin dengan isteri baharu,” katanya memulakan bicara.

Sejak itu, mereka tiga beradik menyimpan dendam terhadap bapanya kerana berpaling tadah daripada tanggungjawab dan membiarkan anak-anak hidup melarat tanpa belaian kasih sayang.

Hidup dalam keadaan serba kekurangan telah menjadikan Liza seorang wanita yang sangat cekal dan kini dia merupakan usahawan berjaya.

“Perjalanan yang dilalui terlalu pahit dan diuji dengan banyak kegagalan, tetapi demi adik-adik, saya kuatkan semangat untuk terus berjuang sehingga berjaya membina empayar perniagaan pada hari ini.

“Hasil titik peluh ini, saya berjaya memberi pendidikan terbaik kepada adik-adik sehingga mereka berjaya menyambung pelajaran di menara gading,” tutur ibu kepada empat orang cahaya mata itu.

Selepas lebih 20 tahun tanpa sebarang berita, tiba-tiba bapa datang menagih simpati kerana hidup merempat selepas dibuang isteri dan anak tirinya ekoran keadaan semakin uzur.

LIZA kesal kerana diberi masa yang singkat untuk berbakti kepada bapanya yang tidak mempedulikan keluarga pada satu ketika dahulu. –GAMBAR HIASAN

Si bapa yang terbaca kisah kejayaan anaknya itu di surat khabar segera menjejaki Liza dan datang ke rumah wanita tersebut.

“Ketika melihat ayah, tiada langsung perasaan rindu sebaliknya hanya dendam dan amarah bagaikan terbakar satu badan.

“Kata-kata makian laju keluar daripada mulut dan tanpa berfikir panjang saya terus menghalaunya keluar,” cerita wanita itu sambil mengesat air mata penyelesalan.

Keesokannya, si bapa datang lagi memohon maaf dan merayu simpati kerana tiada tempat untuk dituju.

Dengan hati yang sangat berat wanita itu membenarkan bapanya tinggal bersama, tetapi segala keperluan makan minum langsung tidak dipedulikan.

“Ayah saya tidak meminta atau berkata apa-apa walaupun seharian tidak makan kerana dia terlalu rasa bersalah dengan apa yang dilakukan kepada kami suatu ketika dahulu.

“Kucing saya makan lagi mewah daripada ayah dan ia juga dijaga dengan sangat rapi,” katanya lagi.
Adik-beradik yang lain juga tidak mempedulikan bapa mereka dan menganggap lelaki itu tidak pernah wujud.

Hari-hari yang dilalui bagaikan tiada apa sehinggalah suatu hari hatinya terpukul apabila terdengar ceramah agama mengenai ihsan dan tanggungjawab anak kepada ibu bapa.

Liza mula teringat seorang pakcik tua yang dibantunya walaupun tiada apa pertalian darah bahkan lelaki itu tidak pernah menabur jasa.

“Bayangkan orang yang tiada pertalian darah saya bantu dengan seikhlas mungkin tanpa berharap sebarang balasan, inikan pula ayah sendiri.

“Walaupun dia mengabaikan kami, tetapi lelaki itu tetap ayah saya dan menjadi tanggungjawab anak untuk berbakti kepada orang tuanya,” katanya.

Tambah Liza, dia tidak mahu pengulangi perbuatan dosa ayahnya dengan mengabaikan tanggungjawab dan menjadi anak derhaka.

Akui wanita itu, apabila memaafkan bapanya hati menjadi lebih tenang dan bahagia, tetapi Liza sedikit kesal kerana hanya diberi waktu yang singkat untuk menjaga lelaki tersebut apabila dia dijemput Ilahi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN