KISAH rumah tangga sentiasa ada pasang surutnya dan setiap pasangan pasti diuji dengan pelbagai keadaan bagi membuktikan kesetiaan mereka bertahan hingga hujung nyawa.
Minggu ini, kolum Dari Mahkamah Syariah membawakan kesetiaan seorang isteri diuji selepas suaminya diserang strok ringan selepas mengemas bilik stor rumah mereka dan terpaksa dikejarkan ke hospital.
Tidak tahan dengan keadaan suami yang semakin lemah dan memerlukan rawatan dan pemantauan untuk tempoh lama, si isteri sanggup berlaku curang dengan menjalin hubungan dengan lelaki lain sebagai kekasih gelap.
—————————————————————————————————————–
PERCINTAAN selama dua tahun sewaktu menuntut di universiti telah membawa kepada penyatuan antara Syah dan Emelia (bukan nama sebenar).
Selepas tamat belajar, pasangan itu memilih untuk mengikat tali perkahwinan selepas masing-masing berjaya memperoleh pekerjaan stabil.
Hubungan perkahwinan antara Syah dan Emelia pada awalnya berjalan dengan lancar memandangkan masing-masing sedar akan tanggungjawab sewaktu di rumah.
Malangnya, keharmonian yang terjalin telah digugat oleh ujian kesihatan yang menimpa Syah selain kehadiran orang ketiga dalam hubungan mereka sehingga membawa kepada perceraian.
Setelah sedekad berkongsi hidup, ikatan pasangan yang menetap di Ipoh, Perak dan dikurniakan dua orang cahaya mata berusia lapan dan lima tahun itu akhirnya terlerai.
“Sepanjang perkahwinan, kami sebenarnya hanya beberapa kali bergaduh kerana saya sentiasa berusaha memenuhi kemahuan Emelia.
“Tetapi tidak sangka pula akhirnya hati Emelia berubah. Dia memilih untuk hidup dengan lelaki yang lebih sempurna,” ujar Syah yang kini berusia lewat 30-an kepada K2 baru-baru ini.
Ceritanya, pergolakan rumah tangga mereka berdua bermula selepas Syah diserang strok ringan ketika mengemas barangan di dalam stor rumah.
Strok merupakan masalah kesihatan disebabkan gangguan bekalan darah ke otak. Bahagian otak tersebut yang tidak menerima oksigen yang mencukupi akan mengalami kerosakan sel-sel otak, sekali gus menyebabkan kecederaan saraf.
Rentetan itu, tangan dan kaki pada sebelah kiri badan Syah menjadi lemah dan gagal bergerak secara normal.
Malah, pertuturan Syah terjejas dan sukar difahami.
“Selepas disahkan mengalami strok ringan, saya dimasukkan ke hospital selama 10 hari.
Sepanjang berada di sana, Emelia hanya datang sekali melawat saya.
“Ketika itu, saya tidak syak apa-apa. Saya faham dia sibuk dengan urusan di pejabat serta menguruskan anak-anak berseorangan,” katanya.
Selepas keluar dari wad, Syah perlu menjalani rawatan fisioterapi bagi membolehkan kaki dan tangannya dapat digerakkan seperti sebelum ini, selain bagi memulihkan pertuturan.
Justeru, dia memilih untuk berhenti kerja sebagai pembantu jualan kenderaan memandangkan tidak dapat melakukan tugas itu kerana kesukaran bergerak serta bertutur.
“Selepas berhenti kerja, masa saya banyak dihabiskan berehat di rumah dan menjalani rawatan di hospital. Saya berasa betul-betul tertekan dan fikiran terganggu.
“Saya banyak berfikir perkara-perkara negatif dan berasakan diri ini sudah tidak berguna.
“Saya juga bertukar menjadi seorang yang sangat sensitif,” tegasnya.

Pada suatu hari, selepas pulang menjalani rawatan di hospital, Syah bersama rakannya singgah di sebuah restoran untuk makan tengah hari.
Sewaktu menjamah makanan, Syah terlihat kelibat Emelia berjalan melintasi restoran berkenaan bersama seorang lelaki sambil berpegangan tangan.
Pada ketika itu, hatinya remuk diperlakukan sedemikian rupa oleh isteri yang selama ini dianggap setia.
“Sebaik Emelia pulang ke rumah, saya terus menyoalnya bertalu-talu.
“Dia beritahu, lelaki itu hanya kawan biasa. Jawapan itu saya tidak boleh terima sehingga membawa kepada perbalahan.
“Saya ada ajukan pertanyaan mengenai situasi saya ketika ini yang menyebabkannya dia mencari lelaki lain. Emelia hanya mendiamkan diri.
“Saya yakin dia tidak sanggup hidup dengan orang sakit seperti saya. Apatah lagi menunggu sehingga saya pulih seperti sedia kala. Difahamkan, ia memakan masa lama untuk pulih,” ujarnya penuh yakin.
Disebabkan rasa tertekan dengan kekurangan diri dan masalah rumah tangga, Syah hilang pertimbangan sehingga melafazkan cerai talak satu kepada Emelia pada petang itu.
Sebaik melafazkan talak, Syah memilih untuk pulang ke kampungnya di Kedah, manakala Emelia pula tinggal bersama anak-anak di rumah mereka sebelum menunggu tarikh ke mahkamah syariah.
Perbicaraan di mahkamah berjalan lancar dan mereka memilih untuk berpisah secara baik demi kebaikan semua pihak.
“Hakim hanya menyatakan setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.
“Saya sedar kekurangan diri dan Emelia berhak untuk mendapat lelaki lebih sempurna.
“Saya nekad mencerainya kerana tidak mahu menjadi suami dayus,” ujarnya yang kini giat menjalani rawatan secara tradisional.














