fbpx
MAJIKAN menggunakan alasan PKP apabila perlaku kakitangan seperti buruh paksa, tak bayar gaji. - GAMBAR HIASAN

Majikan ‘rompak’ gaji pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sebahagian majikan di negara ini bertindak licik apabila ‘merompak’ gaji pekerja sendiri ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan memanipulasi slip gaji kononnya telah membayar caruman dan membuat penolakan berkaitan walhal ia tidak pernah dilakukan.

Lebih malang apabila ada gaji pekerja sama ada tempatan atau warga asing langsung tidak dibayar selepas keringat mereka diperah menjadikan situasi itu tidak ubah seperti hamba abdi moden.

Situasi ibarat buruh paksa itu dialami oleh seorang gadis dikenali sebagai Ida, 21, yang tidak dibayar upah, manakala caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya tak pernah dimasukkan walaupun ia ditulis di dalam slip gaji.

“Saya mula bekerja di sebuah syarikat di Pahang Disember tahun lalu, namun segalanya terbongkar pada Mac lalu apabila majikan tidak membayar gaji semua pekerja.

“Bila tanya pasal gaji, mereka langsung tidak jawab dan disekat daripada dihubungi,” katanya kepada Kosmo!.

PEKERJA yang pernah ditipu majikan seperti tidak dibayar gaji boleh berubah menjadi pemarah dan akan bertindak di luar kawalan hanya kerana hal yang kecil. – GAMBAR HIASAN

Tambahnya, dia dimaklumkan syarikat itu membuat perkara sama kepada lebih 50 pekerjanya sebelum ini. Lebih malang apabila pekerja diberi cuti tanpa gaji secara tiba-tiba tanpa alasan munasabah.

Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Siti, 27, memberitahu, gaji dan bayaran lebih masa tidak dibayar tanpa sebab oleh bekas majikannya di Kuala Lumpur.

“Sudahlah dipaksa kerja lebih masa, gaji pula dipotong setiap bulan bermula Julai 2019 hingga September 2020 tanpa sebab yang munasabah. Mereka janji nak bayar lepas habis PKP, namun hampa,” katanya.

Ujar Siti, dia dituduh tidak setia kepada syarikat apabila berhasrat untuk berhenti kerja dan tidak dibayar gaji yang tertunggak.

Mengulas mengenai isu itu, Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, masalah buruh paksa dan pencabulan hak asasi manusia dilaporkan semakin parah di negara ini ketika PKP.

“Apa yang membimbangkan, Malaysia dilaporkan berada di kedudukan ketiga iaitu paling rendah dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2021 Amerika Syarikat sekali gus memberi persepsi negatif,” katanya.

Tambahnya, ia satu amaran buat kerajaan supaya memberi fokus dan mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi isu tersebut.

Menurut Mohd. Effendy, kebanyakan yang menjadi mangsa ialah mereka yang bekerja di sektor perladangan dan perindustrian.

“Sewaktu PKP, banyak majikan culas membayar gaji dan upah lebih masa pekerja migran dan tempatan atas alasan rugi. Mengikut undang-undang, pekerja hanya dibolehkan kerja 48 jam seminggu dan diberi cuti sehari,” katanya.

Namun, ketika PKP, ada laporan diterima mengatakan pekerja kena kerja lebih 13 jam sehari selama seminggu tanpa rehat.

“Ada juga pekerja bersesak dengan 30 pekerja dalam satu rumah dan tidur bergilir-gilir di atas satu katil,” katanya.

JTK menerima banyak aduan mengenai buruh sepanjang pandemik Covid-19 di negara ini.

Selain Malaysia, Myanmar, China, Korea Utara, Cuba, Rusia dan Afghanistan juga berada di kedudukan ketiga TIP 2021.

Sementara itu, Pengerusi Rancangan Sarjana Kaunseling Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Nor Shafrin Ahmad berkata, mangsa buruh paksa akan mengalami pelbagai gangguan psikologi termasuk tekanan.

“Manusia akan menyimpan rasa marah dan meluahkannya secara pasif seperti bergaduh hanya disebabkan hal kecil jika berasa tertipu.

Katanya, perasaan marah juga boleh menyebabkan mangsa menjadi murung, mudah kecewa dan paling membimbangkan berisiko membunuh diri ekoran merasakan mereka sudah tidak mempunyai harapan untuk dibantu pihak lain.

 

JTK dedah kes berkaitan buruh meningkat sepanjang pandemik

PETALING JAYA – Peratusan pemberhentian pekerja me­ngalami peningkatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19.

Jabatan Tenaga Kerja (JTK) berkata, jumlah itu amat membimbangkan dikala orang ramai masih bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup pada masa kini.

“Pandemik ini memberi kesan yang amat besar terutamanya ekonomi dunia termasuk negara kita sendiri.

“Justeru itu, tidak hairan me­ngapa ramai rakyat berdepan dengan masalah seperti dibuang kerja, dipotong gaji dan sebagainya,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Tambahnya, para pekerja yang menghadapi situasi dibuang kerja tanpa sebab, gaji dipotong tanpa perbicangan atau tidak dibayar gaji mahupun isu perburuhan lain, diminta untuk tampil ke hadapan melaporkan kepada JTK.

“Majikan perlu bertimbang rasa terhadap situasi para pekerja ketika kita semua berdepan dengan pandemik Covid-19. Pekerja juga perlu faham dan bertolak ansur dengan majikan,” jelasnya.

Katanya, bagi mangsa yang mengalami masalah buruh atau menjadi mangsa tidak dibayar gaji oleh majikan boleh menghantar aduan ke [email protected] atau hubungi talian 03-8886 2049 / 03-8886 2352 / 03-8888 9111 atau datang sendiri ke JTK.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN