fbpx

Vaksin Rindu tiup semangat kala pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEPUTUSAN kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri bermula 11 Oktober lalu disambut penuh gembira oleh rakyat Malaysia. Masing-masing teruja, apatah lagi buat mereka yang sudah lebih setahun tidak berjumpa ibu bapa dan keluarga tercinta.

Kebenaran itu juga selepas kadar vaksinasi lengkap di seluruh negara membabitkan golongan dewasa sudah mencapai 90 peratus, sekali gus membuktikan bagaimana tahap kesedaran yang tinggi masyarakat terhadap suntikan vaksin.

Bertepatan dengan kempen kerajaan juga, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Amal Kemanusiaan Malaysia melancarkan lagu Vaksin Rindu sebagai usaha dan inisiatif menggalakkan orang ramai yang belum mendapatkan vaksin untuk berbuat sedemikian.

Selain itu, lagu tersebut juga bertujuan menaikkan semangat selepas musibah yang menduga kita.

Lagu ciptaan AkhMas dan Yasin Sulaiman serta lirik oleh Yasin, Suhaimi dan Ghazali tersebut dinyanyikan sendiri oleh Yasin.

KATA Yasin, lagu Vaksin Rindu diharapkan dapat meningkatkan kesedaran kepada masyarakat terhadap suntikan vaksin tatkala virus Covid-19 masih membelenggu dunia.

Penyanyi itu berkata, dia tidak berfikir panjang ketika ditawarkan menyanyikan Vaksin Rindu selain tertarik dengan lirik dan tema yang dibawa lagu berkenaan.

“Saya mendapat tawaran menyanyikan lagu ini bulan lepas. Apabila saya dengar melodi dan baca lirik, saya tak fikir panjang untuk berikan jawapan ya. Saya terus terima dan nak buat lagu ini. Lagi pula, saya suka idea yang dibawa Persatuan Amal Kemanusiaan Malaysia.

“Pada masa sama, saya lebih kepada nak sokong kempen dijalankan mereka. Saya nak raikan matlamat kempen mereka menerusi lagu Vaksin Rindu ini. Usaha mereka ini sangat bagus kerana ada kesedaran. Pada masa sama, mahu tingkatkan kesedaran kepada masyarakat terhadap suntikan vaksin tatkala virus Covid-19 masih melanda negara,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu tersebut, Yasin berkata, dia juga turut memberikan sedikit sentuhannya menerusi bahagian melodi dan lirik.

“Pada awalnya memang saya kena menyanyi saja. Apabila tengok lirik, comel juga bunyinya. Lagu sederhana dan santai saja. Disebabkan karya ini daripada NGO, saya tidak boleh layan mereka macam orang lain. Jadi, saya ada baiki sikit pada bahagian lirik supaya lebih baik hasilnya.

“Sebelum itu saya minta izin dan mereka okey. Ketika dapat tawaran, muzik sudah siap. Jadi, saya bantu dalam proses ‘mixing’. Alhamdulillah, hasilnya diharap dapat diterima baik peminat dan sama-sama kita menghayati lagu ini,” katanya.

Hak masing-masing

Ditanya mengenai kewujudan golongan yang masih belum atau menolak vaksin, Yasin berkata, perkara tersebut adalah pendirian dan hak masing-masing.

“Di sekeliling saya ramai tak ambil vaksin dengan pelbagai alasan atau mungkin juga mereka berasakan tak nak terbabit dengan agenda vaksin. Ikut kepercayaan masing-masing.

“Tapi bagi saya, tak jadi masalah kepada negara pun. Sebab kadar vaksinasi seluruh negara pun sudah mencapai 90 peratus.

“Lagi satu, kita tak boleh paksa mereka. Dalam perubatan pun sama. Cuma, pengambilan vaksin ini adalah untuk kesedaran bersama bagi melindungi diri kita,” jelasnya.

Bagaimanapun, menurut penyanyi itu, mereka yang digelar antivaksin bukanlah ancaman buat mereka yang sudah mengambil suntikan vaksin.

“Saya tak raikan pendapat mereka, tapi saya hormat pendirian golongan ini. Sebab soal masukkan sesuatu dalam badan adalah atas diri sendiri. Jadi, apa pun keputusan, itu hak mereka.

UJAR Yasin, dia tiada hak untuk memberi pendapat tentang golongan yang enggan menerima vaksin kerana itu adalah pendirian hidup masing-masing.

“Bagi saya, buat masa sekarang bukan satu masalah. Melainkan kalau majoriti yang tak nak vaksin, itu baru masalah. Antivaksin bukanlah ancaman buat kita. Sekarang pun kes harian makin turun. Tak perlu nak kecoh atau saling bergaduh dalam media sosial,” katanya.

Sementara itu, wakil Persatuan Amal Kemanusiaan Malaysia berharap lagu Vaksin Rindu yang diterbitkan mereka dapat menaikkan semangat seluruh rakyat Malaysia selepas hampir dua tahun bergelut dengan situasi pandemik Covid-19.

Lagu tersebut juga bertepatan dengan objektif NGO tersebut kerana mereka merupakan persatuan yang aktif dan giat memberi sumbangan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

“Diharapkan lagu ini dapat menaikkan semangat selepas musibah yang menduga kita. Untuk sama-sama membantu dan memberi sumbangan boleh ke arifnasional.com atau dapatkan ‘merchandise’ di vaksinrindu.com ,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI