fbpx
KOS pernikahan di Thailand dijangka meningkat sehingga RM6,000 ekoran pertambahan kos termasuk melibatkan pengangkutan udara.

Kos nikah siam naik, golongan elit mula risik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Selepas sekian lama menanti, impian pasangan dari negara ini untuk bernikah di Thailand melalui ejen yang dilantik kini semakin cerah apabila negara jiran itu akhirnya membuka pintu sempadannya kepada negara luar termasuk Malaysia bermula 1 November ini.

Bagaimanapun, hajat itu mungkin sedikit menyukarkan apabila Thailand menetapkan prosedur ketat untuk mengunjungi negara berkenaan termasuk perlu menggunakan jalan udara.

Namun, bagi golongan elit dan berkemampuan, mereka tidak mempunyai masalah untuk mengeluarkan kos yang besar, asalkan impian untuk bernikah lagi menjadi kenyataan.

Seorang ejen perkahwinan dari Sungai Petani dikenali Amran berkata, dia telah menerima panggilan daripada beberapa individu yang bertanya mengenai pakej perkahwinan di Thailand, namun belum ada tempahan buat masa ini.

Katanya, setakat ini pintu sempadan Thailand hanya dibuka untuk pengangkutan udara bermula 1 November ini.

“Biasanya, kami hanya perlu melalui pengangkutan darat untuk ke sempadan Thailand dan kosnya juga sangat murah iaitu sekitar RM2,000 hingga RM3,000.

“Bagaimanapun, rakyat Malaysia yang mahu ke Thailand ketika ini perlu menggunakan pengangkutan udara dan sudah pasti kosnya akan naik sekali ganda iaitu mencecah RM5,000 hingga RM6,000 bagi satu pasangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Menurut beliau, harga pakej tersebut adalah melibatkan kos pengangkutan, penginapan serta upah jurunikah di sana.

Kata Amran, pada kebiasaannya, pelanggan akan memilih pakej pengangkutan darat termasuk penginapan dua hari satu malam di Thailand.

“Bagi pengangkutan udara pula, biasanya pakej yang disediakan adalah tiga hari dua malam,” jelasnya.

Katanya, setakat ini hanya golongan-golongan elit yang sudah ‘merisik’ untuk bernikah di Thailand, namun belum ada sebarang tempahan dan bayaran pendahuluan yang diterima.

“Jika ada tempahan, kami akan terus bawa mereka ke sana dengan syarat sediakan bajet yang mencukupi,” ujarnya.

Bagi seorang lagi ejen pernikahan dikenali Yakob, dia mengakui kos yang tinggi menyebabkan ada antara pasangan yang sebelum ini bercadang untuk ke negara jiran itu terpaksa menangguhkan hajat mereka.

“Walaupun sempadan akan dibuka pada 1 November ini, namun ramai yang memilih untuk tunggu dan lihat sehingga ada prosedur operasi standard (SOP) yang jelas mengenai pembukaan sempadan antarabangsa.

“Isu kos yang meningkat mungkin antara faktor yang difikirkan selain prosedur perlu menggunakan pengangkutan udara untuk berkunjung ke negara berkenaan,” jelasnya.

Kelmarin, kerajaan Thailand mengumumkan akan membuka pintu sempadan kepada 45 negara yang dikategorikan sebagai rendah risiko Covid-19 bermula 1 November ini.

Para pelancong dari 45 negara itu tidak perlu menjalani kuarantin sekiranya mereka memasuki Thailand menggunakan jalan udara dan keputusan ujian Co­vid-19 adalah negatif.

Antara 45 negara itu termasuk Malaysia, Singapura, China dan Amerika Syarikat

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN