fbpx

‘Kami tiada pilihan, parkir tak cukup’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DERETAN kenderaan pelawat dan kakitangan diletakkan di bahu jalan di Kompleks E, Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA – Insiden pemandu lori yang melanggar lebih 10 buah kereta di Kompleks E, Putrajaya semalam nyata tidak dijadikan pengajaran buat pelawat mahupun kakitangan apabila masih terdapat kenderaan diletakkan di kawasan bahu jalan.

Tinjauan dilakukan Kosmo! mendapati, biarpun kawasan kemalangan kelmarin telah dikosongkan, namun kira-kira 50 meter dari situ, orang ramai tetap meletakkan kenderaan di bahu jalan.

Menurut seorang pelawat, Muhd. Alizaini Mohd. Hussein, 37, dia terpaksa meletakkan kereta­nya di bahu jalan kerana kawasan berkenaan kekurangan tempat letak kenderaan sejak sekian lama.

“Saya tiada pilihan lain, bukannya sengaja mahu letak di bahu jalan tetapi tempat letak kereta terhad. Saya hanya boleh berharap keadaan ini dapat diatasi oleh pihak berkaitan,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, seorang lagi pe­lawat, Nur Hafizah Abd. Rahman, 29, berkata, dia juga terpaksa meletakkan kenderaan di kawasan tersebut beberapa kali sebelum ini walaupun sedar dengan risiko dihadapi.

“Begitu juga dengan rakan-rakan saya yang lain apabila mereka mempunyai urusan di sini (Putrajaya). Bukannya tidak mahu letak kereta di tempat sepatutnya tetapi ia penuh.

“Cuma kami bernasib baik tidak pernah berhadapan dengan sebarang insiden tidak diingini seperti yang berlaku kelmarin,” ujarnya.

Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan yang hanya mahu dikenali sebagai Latiff berkata, walaupun larangan meletakkan kenderaan telah dibuat pihak berkaitan, namun sikap ambil mudah dan pentingkan diri sendiri tetap wujud dalam kalangan kakitangan di sana.

“Memang situasi seumpama ini sering berlaku, kadang-kadang saya terpaksa memandu dengan berhati-hati apabila melintasi bahu jalan yang penuh dengan kenderaan di kiri serta kanan jalan.

“Bukan sahaja pelawat, kakitangan pun meletakkan kende­raan di bahu jalan. Bagi pelawat, mungkin mereka mahu cepat ketika berurusan seperti menghantar dokumen di bangunan berhampiran,” katanya.

Kelmarin sebuah lori dilaporkan melanggar lebih 10 buah kenderaan yang diparkir di Kompleks E di sini. Insiden tersebut berjaya dirakamkan televisyen litar tertutup (CCTV).

Kes berkenaan disiasat mengikut Sekyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI