fbpx
RAJA MOHD. ISKANDAR (kiri) memberi susu kepada Raja Azlan yang terlantar sakit di rumah mereka di Kampung Star Baru, Gua Musang semalam.

Adik berhenti kerja jaga abang sakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Seorang adik dari Kampung Star Baru di sini sanggup berhenti kerja demi menjaga abang kandungnya yang terlantar sakit akibat penyakit hipertensi atau tekanan darah tinggi sejak empat bulan lalu.

Raja Mohd. Iskandar Raja Ibrahim, 24, berkata, dia kini mengambil tugas menguruskan abangnya, Raja Azlan, 35, yang hilang keupayaan bergerak dan berjalan selepas menjalani pembedahan.

Menurutnya, dia sebelum ini bekerja di sebuah kilang di Se­langor, namun terpaksa melupakan pekerjaan itu semasa musim Covid-19 untuk pulang ke kampung dan menjaga abangnya.

Kata beliau, sebelum ini berat badan abangnya hampir 200 ki­logram (kg) dan telah susut mendadak selepas menjalani pembedahan otak di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian pada Jun lalu.

“Abang saya bekerja sebagai pemandu lori ais dan dia merupakan tonggak keluarga apabila hampir keseluruhan pendapatannya digunakan untuk per­belanjaan kami sekeluarga.

“Kini, dia hanya mampu terlantar di katil dan segala pergerakannya perlu dibantu oleh saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Star Baru di sini semalam.

Sementara itu, ibunya, Jahiyah Junus, 60, berkata, dia perlu membelanjakan lebih RM1,000 sebulan untuk membeli susu dan lampin pakai buang bagi keperluan Raja Azlan.

Katanya, ketika ini, dia hanya menggunakan wang simpanan untuk membiayai kos keperluan anak keempat daripada lapan beradik itu.

“Selepas Raja Azlan berhenti kerja, kami terpaksa menggunakan wang gajinya yang dibayar majikan selama dua bulan untuk perbelanjaan harian dan perubatan. Bagaimanapun, wang itu sudah habis dan kami hanya mengharapkan sedekah yang diberikan oleh orang kampung.

“Tujuh orang anak saya yang lain hanya bekerja kampung dan mereka juga sudah berkeluarga serta tidak mampu untuk membantu perbelanjaan rawatan Raja Azlan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh berbuat demikian dengan me­nyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank Raja Mohd. Iskandar iaitu 162218764322 atau menghubunginya di talian 017-932 3282.

POPULAR