fbpx
ANGGOTA bomba menjalankan operasi pencarian mangsa di sekitar Jeti Sungai Nipah, Sungai Besar, petang tadi.

Nelayan hilang, jatuh sungai ketika cuci muka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM – Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ketika mencuci mukanya di Jeti Sungai Nipah, Sungai Besar di sini, petang tadi.

Kejadian itu menyebabkan mangsa yang berusia 38 tahun hilang dan belum ditemui sehingga kini.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pukul 2.42 petang.

“Berdasarkan maklumat awal, seorang lelaki dikatakan terjatuh ketika mencuci muka di jeti muara tersebut.

“Berikutan itu, operasi segera dijalankan dengan kerjasama Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) BBP Shah Alam dan Pelabuhan Klang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Jelas Norazam, pihaknya bagaimanapun belum berjaya mengesan mangsa setakat ini dan operasi ditangguhkan serta disambung semula pagi esok.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias mengesahkan kejadian dan berkata kes disiasat sebagai orang hilang. -K!ONLINE

POPULAR