fbpx
Ahmad Zulqarnain pada majlis prapelancaran MSD secara maya semalam.

MSD tawar hadiah lebih RM500,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Permodalan Nasional Berhad (PNB) menawarkan hadiah bernilai lebih daripada RM500,000 bersempena Minggu Saham Digital (MSD) yang akan berlangsung selama tujuh hari bermula 17 November ini.

Hadiah tersebut terdiri daripada sebuah kereta Hyundai Kona, sebuah kereta Toyota Yaris, sebuah kereta Perodua Ativa dan juga motosikal Honda Dash.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, kesemua ha­diah lumayan beserta hadiah lain yang menarik turut ditawarkan kepada pengunjung MSD melalui peraduan utama yang dianjurkan iaitu Jom….Kira Duit.

Program bertemakan #Labur­Bersama itu dianjurkan bersempena lanjutan kejayaan MSD yang telah diadakan pada tahun 2020.

Menurut beliau, fokus firma pelaburan itu adalah untuk mencipta nilai dan menghasilkan pulangan lestari jangka panjang bagi pemegang unit.

Menurutnya, usaha ini seiring dengan komitmen PNB untuk meningkatkan standard literasi kewangan agar masyarakat bijak membuat keputusan kewangan yang lebih baik demi masa depan mereka.

“PNB berbesar hati menganjurkan MSD 2021 yang bakal bersiaran bulan depan ekoran sambutan menggalakkan yang diterima pada MSD yang julung kali diadakan tahun lalu dengan lebih dua juta tontonan,” katanya,

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis prapelancaran MSD secara maya semalam.

MSD adalah adaptasi digital Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang telah dianjurkan secara fizikal selama dua dekad semenjak tahun 2000.

Acara digital itu kini dapat diakses khalayak ramai di mana juga mereka berada dari keselesaan kediaman sendiri dan semudah sentuhan di hujung jari.

Selain itu, mulai hari ini, orang ramai boleh menyertai peraduan utama MSD 2021 iaitu Jom… Kira Duit yang mana peserta perlu mencari dan mengumpul #Syi­lingMSD yang akan dipaparkan di pelbagai platform.

Melalui MSD juga, sebanyak 2,400 pendaftar bertuah bakal memenangi e-baucar melalui cabutan bertuah yang akan diadakan setiap hari.

Turut dianjurkan ialah Kuiz harian Live Trivia, yang mana setiap 19 episod program MSD 2021 ini menawarkan peluang kepada 10 penonton untuk memenangi e-baucar.

POPULAR