fbpx
KOMBINASI kemeja-T grafik dengan jaket atau sut sememangnya menjadi trend fesyen masa kini.

Trend kemeja-T grafik jadi ikutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTARA trend fesyen 2021 yang kini paling popular di Instagram, majalah dan di jalanan adalah semestinya kemeja-T dengan reka cetak atau corak grafik serta logo.

Kita juga dapat lihat trend tersebut di pentas peragaan antarabangsa dari New York, Amerika Syarikat hingga ke Paris, Perancis yang mana kemeja-T grafik ada di mana-mana sahaja.

Sebenarnya, trend kemeja-T grafik bukanlah baharu dan tidak pernah out of style kerana trend ini paling popular pada awal tahun 2000.

Pada masa itu, semua peminat fesyen begitu menggilai kemeja-T grafik yang sememangnya dapat menyerlahkan personaliti.

Trend tersebut kembali meneruskan tradisi gaya jalanan yang paling berani, versatil, kontemporari dan berkait ekspresi diri.

Ramai wanita yang menggayakan kemeja-T grafik dengan padanan variasi potongan jean dan sniker. Ada juga yang bereksperimentasi dengan padanan sut baldu, jaket atau blazer, skirt dan gaun.

Padanan gaya adalah tidak terbatas, terpulang kepada kebijaksanaan anda menyuai padan mengikut cita rasa masing-masing.

Pilihan kemeja-T dengan reka corak dan cetak logo cukup banyak di pasaran. Antara reka cetak atau corak yang popular adalah logo vintaj, slogan menarik, abstrak atau kemeja-t band (kugiran muzik).

Apapun pilihan anda, pastikan pakaian itu membuatkan anda tampil ceria kala menggayakannya.

Trend ini membuktikan bahawa untuk kelihatan bergaya adalah cukup mudah, praktikal serta dalam lingkungan harga yang berpatutan.

1. Padanan kemeja-T

Pastikan kemeja-T grafik anda ringkas tetapi menarik untuk dipadankan bersama jaket dengan reka corak, cetak atau kemeja button-down.

Tidak jadi masalah jika padanan warna atau reka corak tidak sepadan kerana itulah keunikan gaya ini.

Kemeja-T grafik dan kasut tumit tinggi adalah padanan sempurna. Trend ini lebih ranggi serta cukup bergaya dengan kombinasi kasut tumit tinggi dan jaket kulit.

Untuk gaya mewah dan chic, padankan kemeja- T grafik dengan jaket, blazer atau sut baldu.

2. Aksesori

Untuk gaya ceria, gayakan kot trench dan jean yang dilipat pada hujung seluar bagi menampakkan kasut sniker yang dipakai.

Padankan dengan beg glam dan aksesori yang menarik sebagai pelengkap gaya yang mudah serta sesuai untuk pelbagai acara.

MEMAKAI kemeja-T grafik yang disemat ke dalam skirt mampu serlah gaya feminin.

3. Kewanitaan

Kombinasi jaket kulit dan kemeja-T grafik pasti dapat menyerlahkan gaya edgy yang anda mahukan.

Lengkapkan gaya ini dengan topi beanie dan kasut tumit tinggi.

Bagi yang inginkan lebih elemen kewanitaan, padankan kemeja-T grafik dengan kardigan serta kaca mata hitam dalam rona terang (bright sunglasses).

4. Potongan longgar

Trend jean koyak (ripped) dengan potongan longgar juga menarik dipadankan dengan kemeja-T grafik dan kasut tumit tinggi.

Aksesori juga pastinya dapat mengubah penampilan gaya ultra chic yang boleh dicapai menerusi kombinasi topi panama, but tinggi lutut (knee-high boots) dan jean.

5. Gaya berani

Bagi gaya feminin, padankan kemeja-T yang disematkan ke dalam skirt. Padankan dengan jaket labuh atau kardigan dengan but paras lutut (ankle boots) untuk cuaca yang dingin.

Selain itu, untuk menyerlahkan lagi gaya berani, jaket reka corak harimau bintang dengan kemeja-T grafik pasti pasti menarik perhatian. Gincu merah melengkapi penampilan ini.

POPULAR