fbpx
Gambar hiasan

Belajar ‘berdamai’ dengan Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
SYALMIZI HAMID,
WAKIL PULAU PINANG

BIARPUN virus Covid-19 masih berlegar, namun pengumuman kebenaran merentas negeri oleh kerajaan bermula 11 Oktober lalu sebagai satu isyarat bahawa kita hampir bersedia untuk memasuki fasa endemik.

Endemik adalah keadaan di mana virus akan terus wujud dalam masyarakat dan tempat. Kita perlu untuk hidup dengannya.

Vaksin pula merupakan salah satu ikhtiar untuk melawan virus berkenaan. Dengan cara itu, dikatakan dapat mengurangkan penyebaran Covid-19 serta kemasukan pesakit ke dalam wad dan kematian.

Selagi virus masih wujud, juga ini bermakna prosedur operasi standard (SOP) seperti pema­kaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di tempat awam serta sentiasa membersihkan tangan adalah sangat penting untuk kita amalkan.

Biarpun bagi sesetengah pihak fasa endemik akan dianggap satu kebebasan, namun kita tidak seharusnya mengenepikan fakta bahawa 2.4 juta rakyat negara ini telah dijangkiti dan fakta itu dijangka terus meningkat sekiranya SOP dipandang ringan.

Daripada angka itu juga, lebih 27,800 nyawa saudara di negara kita telah diragut virus ber­kenaan, manakala angkanya di­jangka terus meningkat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar baru-baru ini menjelaskan, peralihan kepada fasa endemik yang disasarkan dapat dimulakan akhir bulan ini bukanlah tindakan mengalah, sebaliknya bersifat mengadaptasi diri.

Beliau berkata, dengan adanya varian Delta, saintis seluruh dunia mengatakan bahawa untuk mencapai imuniti kelompok agak sukar disebabkan kemunculan varian baharu.

“Sebab itulah kita (Malaysia) terima hakikat bahawa mungkin pengakhirannya adalah peringkat endemik.

“Andaian saya adalah dengan kadar vaksinasi yang tinggi pada akhir Oktober, kita (Malaysia) boleh mula peralihan kepada peringkat endemik. Bukanlah pada 31 Oktober tiba-tiba endemik sepenuhnya,” kata beliau baru-baru ini.

Menurut Khairy, perkara itu bagaimanapun bergantung kepada tingkah laku masyarakat dalam tempoh dua bulan ini sambil mengingatkan rakyat supaya terus mematuhi SOP.

Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein baru-baru ini berkata, pengumuman tempoh sebenar negara boleh beralih ke fasa endemik perlu dibuat berdasarkan fakta dan data.

Beliau berkata, pihaknya masih mengumpul maklum balas dan pandangan daripada pakar kesihatan dan ekonomi supaya tempoh peralihan itu dapat dilaksanakan.

Pakar kesihatan awam, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Dzulkhairi Mohd. Rani bagaimanapun berpandangan bahawa perlu lebih banyak ruang untuk penambahbaikan dalam menyediakan masyarakat ke arah fasa endemik.

“Ini termasuk meningkatkan kefahaman masyarakat tentang cara jangkitan dan kawalan pe­nyakit.

“Pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan pendidikan serta kebenaran rentas negeri menunjukkan keyakinan positif bahawa kerajaan bersedia ke arah fasa endemik

“Dalam persediaan kita memasuki fasa itu, lebih banyak promosi pendidikan kesihatan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat terutamanya ke­perluan melakukan ujian kendiri dan kaedah-kaedah pencegahan penyakit Covid-19 perlu diadakan,” katanya kepada Kosmo! semalam.-K! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN