fbpx

Pemakluman pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bagi Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan Sabah akan terus beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) esok.

KPM memaklumkan, ini kerana pihaknya telah menetapkan bahawa jika sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan bawah kementerian itu mengikut ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan ke fasa tersebut.

“Apabila Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan Sabah beralih ke Fasa 3 pada 18 Oktober 2021, maka pengoperasian institusi pendidikan berdasarkan ketetapan Fasa 3 bagi Kedah dan Kelantan akan bermula pada 31 Oktober 2021.

“Manakala bagi Pulau Pinang, Perak dan Sabah, pengoperasian institusi pendidikan berdasarkan ketetapan Fasa 3 akan bermula pada 1 November 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat lalu mengumumkan peralihan fasa PPN bagi Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Melaka, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Wilayah Persekutuan Putrajaya berkuat kuasa esok.

Menurut KPM, Pengoperasian Fasa 3 PPN melibatkan murid prasekolah, murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi, tingkatan 6 semester 2 serta Prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia.

Kataya, turut terlibat adalah kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya, sekolah harian, sekolah swasta, International Baccalaureate Diploma, serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) dan kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.

“Bagi negeri Melaka, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM terus beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa 3 PPN pada 18 Oktober 2021.

“Memandangkan negeri-negeri ini akan beralih ke Fasa 4 PPN bermula 18 Oktober 2021, pengoperasian institusi pendidikan di negeri-negeri berkenaan berdasarkan ketetapan Fasa 4 PPN hanya akan bermula pada 1 November 2021,” katanya.

Menurutnya, ia turut melibatkan kemasukan bagi murid Tahap 1 (tahun 1, 2 dan 3) sekolah rendah serta murid tingkatan 3 dan tingkatan 4 sekolah menengah. – K ! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI