fbpx

Fokus siap projek pembangunan di Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mustapa (kiri) dan Ahmad Samsuri melihat buku RMK-12 pada majlis Libat Urus RMK-12 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Penyediaan bekalan elektrik di pulau peranginan terutama di Pulau Perhentian dan Pulau Redang merupakan antara projek infrastruktur di Terengganu yang sedang dipertimbangkan kerajaan Persekutuan bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, selain itu, kerajaan negeri Terengganu juga memohon agar kelulusan diberikan kepada projek tebatan banjir dan kemudahan kesihatan.

“Tumpuan akan diberikan untuk menyiapkan Hospital Kemaman dan Hospital Dungun yang kini sedang dalam pembinaaan.

“Selain itu, kita juga fokus untuk menyelesaikan projek-projek pembangunan di Terengganu yang masih belum siap,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Terdahui beliau melakukan pertemuan membincangkan Libat Urus RMK-12 dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mustapa berkata, antara projek-projek tersebut ialah pembangunan taman industri polimer di Kertih, Kemaman, lembangan sungai bersepadu di Kemaman; pemuliharaan sungai Besut, Dungun dan Setiu serta tebatan banjir di Kuala Terengganu utara.

Beliau berkata, projek lain ialah menaik taraf jalan dari susur keluar Plaza Tol Chukai, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) ke Kemaman dan projek jalan raya Simpang Pulai – Gua Musang – Kuala Berang dan kawasan penanaman getah untuk pekebun kecil.

“Butiran lanjut akan diketahui pada pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Oktober ini.

“Kerajaan (Persekutuan) komited menyediakan peruntukan sekurang-kurangnya 50 peratus untuk pelaksanaan projek berimpak tinggi bagi pembangunan asas di enam negeri iaitu Terengganu, Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah dan Sarawak,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI