fbpx
NEELOFA dan suaminya, Haris Ismail.

Desas-desus kehamilan, Neelofa mohon ruang, pengertian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

L ANGKAHNYA diatur dengan cukup berhati-hati ketika memasuki sebuah ruang acara yang berlangsung di sebuah kawasan perumahan di Pinggiran Puncak Jalil, Rabu lalu.

Di sisinya, si suami setia di samping. PU Riz atau Muhammad Haris Mohd. Ismail, 27, juga dilihat sangat melindungi bidadarinya hingga tidak lepas tangan daripada genggaman.

Tempoh tujuh bulan bergelar suami isteri masih belum memudarkan keterujaan mata-mata umum untuk tertancap ke arah pasangan yang masih menebal aroma bulan madu itu.

Bahkan, setiap mata seperti tidak puas membelek penampilan pemilik nama Noor Neelofa Mohd. Noor yang anggun mengenakan abaya longgar rona putih, persis pengantin baharu.

PERTEMUAN bersama Neelofa dan Harris ketika majllis penyerahan sumbangan kepada 1,000 penerima zakat daripada Bank Rakyat dengan kerjasama Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) baru-baru ini.

Sukar membiarkan pandangan menghala ke titik tumpu lain apabila usahawan dan selebriti sensasi berkenaan sudah berada di hadapan mata.

Sebelum ini kesempatan sebegitu dibataskan kekangan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pertemuan kali pertama dengan Neelofa kali ini pantas menjadi peluang untuk merungkai desas-desus kehamilannya.

Bukan baru seminggu dua khabar angin tersebut berlegar di laman maya, sebaliknya sejak akhir Jun sudah banyak petanda diserlahkan empunya diri.

Kerap mengusap perut selain dijejak mengikuti laman web berkaitan bayi antara petunjuk ketara membayangkan bekas hos MeleTOP itu seperti berada pada fasa awal kehamilan.

KEMUNCULAN Neelofa yang semakin berisi mencuri tumpuan ketika tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan bagi sebutan semula kes pelanggaran SOP Covid-19 September lalu.

Paling ketara, kelibatnya ketika hadir ke Mahkamah Seremban bagi sebutan semula kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), 24 September lalu turut menjadi perhatian ramai.

Biar laman sosialnya dihujani ucapan tahniah, tiada sebarang pengesahan atau balasan dilayangkan bagi merungkai persoalan.

Kali ini, Neelofa hanya tertawa sebaik diasak dengan pertanyaan sedemikian, namun dari setiap patah bicara si cantik berusia 32 tahun itu seolah-olah sengaja membiarkan semua orang membuat tafsiran sendiri.

Anak rezeki Allah

Kata Neelofa, berita kehamilan tentu saja sesuatu yang ditunggu-tunggu setiap pasangan berkahwin, namun dia menyerahkan soal cahaya mata kepada rezeki.

ATURAN Allah yang terbaik. Demikian respons Neelofa berkaitan soal zuriat. 

“Soal jantina anak pun saya tidak kisah sebab semua itu berbalik kepada rezeki dan susunan Allah.

“Lagi pun kalau tanya kawan-kawan yang sudah ada anak perempuan, pasti mereka impikan anak lelaki, begitu juga sebaliknya.

“Macam mak saya pun dapat anak perempuan, kemudian lelaki begitulah berselang seli. Aturan Allah yang terbaik,” kongsi bintang Pilot Cafe ini.

Mendasari lagi hatinya apabila khabar angin bagai tidak mampu dihentikan, Neelofa mengakui, situasi tersebut adakalanya mencetuskan sedikit tekanan.

Baginya setiap individu harus diberi ruang, terutama apabila membabitkan hal sensitif.

NEELOFA menanti masa tepat untuk mengumumkan kehamilannya andai benar perkara tersebut berlaku.

“Perkara ini (pengakuan tentang kehamilan) sensitif bagi sesetengah orang. Semua ada alasan tersendiri. Kalau betul, insya-Allah saya kongsikan pada waktu yang sesuai.

“Kalau benarlah desas-desus itu, saya tetap menanti masa tepat kerana jika ada berita gembira yang kita mahu dengar, pasti kita mahu doa orang ramai.

“Suami saya pula sebenarnya tak kisah atau stres untuk dapat anak. Cepat atau lambat malah kami tak pernah berbincang pun pasal ini.

“Kami baharu kahwin, masih dalam proses mengenali tapi seperti suami lain tentu dia teruja jika dikurniakan rezeki ini, begitu juga keluarga yang tak putus berdoa,” katanya.

Bagi pelakon pengacara Next To Neelofa itu bagaimanapun menyerahkan hal tersebut kepada orang ramai untuk membuat penilaian. Pada masa sama dia tetap berharap peminat mendoakan yang terbaik untuk dirinya.

Minta pengertian

Pintanya, peminat harus memahami perasaan seseorang jika spekulasi sedemikian sebenarnya tidak benar, pasti meninggalkan kesan mendalam.

ENGGAN menimbulkan perkara negatif, selebriti dan usahawan ini memohon ruang daripada peminat.

“Saya sedar bahawa lazimnya mana-mana pasangan yang baru berkahwin tidak boleh lari daripada ditanya mengenai kehamilan dan zuriat.

“Apa lagi kedudukan saya di mata masyarakat di mana orang sudah pasti harapkan perkongsian. Insya-Allah saya kongsi nanti.

“Lagi pun soal itu bukan sesuatu yang tak baik sehingga nak disorok. Saya akan beritahu bila semuanya sudah betul-betul pasti.

“Sebagai contoh kalau kandungan sudah benar-benar stabil baru semua itu akan dikongsikan. Bukan saya saja, sesiapa pun bukan?

“Baik hal berkahwin atau mengandung, semua nak umum pada masa yang betul supaya tidak timbul desas-desus negatif,” ulasnya lagi.

Sumbangan

Terdahulu, Neelofa hadir ke majllis penyerahan sumbangan kepada 1,000 penerima zakat daripada Bank Rakyat dengan kerjasama Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN).

Penganjuran acara berkenaan juga inisiatif PRIHATIN dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta Pertubuhan Kasih Neelofa (PKN) bertujuan mengurangkan beban rakyat yang terkesan akibat wabak pandemik Covid-19.

NEELOFA teruja kerana dapat berganding bahu dengan dengan agensi dan syarikat korporat untuk misi membantu golongan terjejas angkara pandemik.

Program tersebut antara lain menyahut seruan kerajaan dalam mendepani cabaran dan hidup sebagai keluarga Malaysia.

Mengenai hala tuju PKN yang agresif membantu golongan sasaran, Neelofa tidak mampu menyembunyikan rasa teruja dapat berganding bahu dengan agensi dan syarikat korporat untuk misi berkenaan. Neelofa juga berharap dapat turun padang bagi menyerahkan sendiri sumbangan selain berpeluang mendekati masyarakat.

Pada masa sama, dia gembira dengan perkembangan aplikasi gaya hidup muslim komprehensif, TheNoor yang dilancarkan Januari lalu semakin diterima ramai.

Kongsinya, banyak perancangan baharu menanti dalam masa terdekat termasuk pembukaan platform belajar mengaji al-Quran menerusi maya di bawah kendalian guru terlatih.

POPULAR