fbpx

Industri francais kembali pulih – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Industri francais berjaya menyumbang lebih daripada 80,000 peluang pekerjaan kepada rakyat.

PUTRAJAYA – Kerajaan komited terhadap usaha menyokong dan menghidupkan semula momentum industri francais di negara ini yang turut terjejas akibat pandemik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak RM10 juta telah diperuntukkan bagi meneruskan pelaksanaan Enhanced Franchise Development Programme (EFDP).

“EFDP memberi latihan kepada usahawan francais tempatan dengan amalan serta pengurusan francais antarabangsa, padanan perniagaan, misi perdagangan selain pembayaran balik kos eksport.

“Program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik pula bakal membuahkan hasil menjelang akhir tahun ini apabila usahawan francais memulakan perniagaan mereka,” katanya pada majlis pelancaran Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) ke-28 semalam.

FIM adalah program tahunan yang diadakan untuk mengumpulkan pemain industri francais dari dalam dan luar negara bagi tujuan mempamerkan produk francais dan peluang perniagaan mereka.

Sebanyak 70 pempamer terdiri daripada syarikat francaisor, francaisi induk, bakal francaisor dan francaisi induk, institusi sokongan serta rakan strategik industri francais mengambil bahagian.

Ia termasuk perniagaan francais dari luar negara antaranya Australia, Amerika, Belgium, Indonesia, Itali, Korea Selatan, Filipina, Singapura, Taiwan dan Turki.

FIM dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA).

Ismail Sabri seterusnya menerangkan, industri francais negara mencatatkan nilai jualan sebanyak RM13.3 bilion pada 2019 dan menyumbang kepada lebih 80,000 peluang pekerjaan sebelum merekodkan kira-kira RM5.2 bilion nilai jualan pada akhir tahun kewangan 2020.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan positif jumlah akhir nilai jualan pada tahun ini mencecah RM13 bilion berdasarkan kepada kekuatan industri itu biarpun negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.

Tambah beliau, kerajaan berkeyakinan terhadap pertumbuhan perniagaan francais akan membantu memakmur dan memberi manfaat kepada negara keseluruhan masyarakat Malaysia.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan mengalu-alukan francaisor antarabangsa mengembangkan perniagaan di negara ini bagi menjadikan Malaysia sebagai hab francais untuk ASEAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI