fbpx

Tikam sembilan kali sebab cemburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

IPOH – Perasaan cemburu dipercayai menjadi motif pembunuhan kejam seorang pesara tentera yang mayatnya ditemui di kawasan semak di Bukit Sumpitan dekat Selama, kelmarin.

Mayat mangsa berusia 42 tahun itu ditemui dalam keadaan hampir membusuk dengan sembilan kesan tikaman pada anggota badan lelaki itu.

Difahamkan, lokasi penemuan mayat mang­sa terletak di jalan pintas dari Selama ke Gerik melalui Banjaran Titwangsa dan merupakan kawasan sunyi selain jarang dilalui kenderaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis menerima laporan pada Isnin lalu membabitkan kes seorang pesara tentera yang dilarikan secara paksa dari rumahnya di Taman Ngah Ibrahim, Taiping.

Menurut beliau, mangsa dilarikan dua individu termasuk seorang anggota tentera di hadapan rumah pada pukul 3 petang Ahad lalu.

“Ketika kejadian, kedua-dua suspek bersenjatakan besi dan memandu kereta jenis Nissan Almera.

“Bertindak atas maklumat tersebut, polis telah melakukan tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 31 tahun di Taiping kelmarin dan seorang tentera berusia 34 tahun di Perlis.

MAYAT mangsa ditemui di kawasan sunyi di laluan Bukit Sumpitan, Selama selepas dibunuh kejam oleh dua lelaki.

“Hasil soal siasat, kedua-dua suspek telah membawa polis ke sebuah kawasan di Bukit Sumpitan dan menunjukkan lokasi di mana mangsa telah dibunuh pada hari kejadian,” katanya di sini semalam.

Menurut Mior Faridalathrash, pemeriksaan pada mayat mang­sa menemui sembilan kesan tikaman yang dipercayai menggunakan senjata tajam.

Katanya, lima tikaman dikesan pada bahagian belakang badan mangsa, manakala empat tikaman lagi pada bahagian hadapan.

“Mangsa dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh tiga hari dengan mayatnya dijumpai kira-kira 60 meter dari tepi jalan di Bukit Sumpitan.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Punca pembunuhan dipercayai akibat masalah cemburu di mana suspek yang juga anggota tentera menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya,” katanya.

DI Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh inilah mayat mangsa dibedah siasat untuk mengetahui punca kematiannya.

Tambah beliau, kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Seksyen 302 Kanun Ke­seksaan kerana membunuh.

Dalam pada itu, tinjauan pemberita di pekarangan Jabatan Forensik HRPB mendapati, beberapa ahli keluarga mangsa berkumpul sementara menunggu hasil bedah siasat daripada pasukan perubatan.

Bagaimanapun, usaha Kosmo! untuk menemu bual isteri mang­sa tidak berjaya selepas wanita berkenaan enggan ditemui.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI