fbpx

Bercinta di dunia, berkasih di syurga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mastura menziarahi pusara ibu bapanya yang dikebumi bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Senama Hilir, Rembau semalam.

REMBAU – Akibat dirundung kepiluan kehilangan isteri tercinta, Masramah Latip, 64, pada Ahad lalu, seorang pesara tentera, Kamarudin Idris, 66, mengikut jejak Allahyarham kelmarin apabila meninggal dunia akibat masalah jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur kelmarin.

Masramah yang me­rupakan bekas pesakit Covid-19 meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari Hospital Tampin ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) pada pukul 10.45 pagi di Kuala Pilah susulan mengalami masalah jantung serta tekanan darah rendah.

Manakala, arwah Kamarudin Idris, 66, pula disahkan meninggal dunia di IJN kira-kira pukul 4 petang kelmarin semasa mendapatkan rawatan susulan di institusi berkenaan.

Anak keenam pasangan itu, Mastura Kamarudin, 30, berkata, berita kematian itu membuatkan dia sebak kerana sudah hampir setahun tidak bertemu ibunya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Cerita Mastura, dia berhasrat pulang ke kampung selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan.

“Bila dapat tahu mak mening­gal dunia, saya segera minta kebenaran polis di Johor untuk pulang ke Rembau. Sedih sangat bila tak sempat bertemu mak, namun saya reda. Malam selepas mak dikebumikan, kami anak-­beranak berkumpul di rumah.

“Ayah luahkan perasaannya tidak tahu macam mana nak lalui hidup tanpa mak sebab mereka memang tak pernah berjauhan sepanjang lebih 40 tahun berkahwin.

“Malah, ayah juga sempat berpesan kepada kami untuk sentiasa saling menyayangi antara adik-beradik serta menjaga antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui di Taman Chembong Jaya, di sini semalam.

Mastura berkata, kedua-dua orang tuanya itu berkahwin atas pilihan ibu bapa dan hanya bercinta selepas berkahwin kerana tidak sempat berkenalan terlebih dahulu.

Menurutnya, ibunya bera­sal dari Padang Temu, Melaka, manakala ayahnya pula ketika itu bekerja sebagai tentera dan berasal dari Kampung Senama Hilir, di sini.

“Mereka telah mengharungi­ susah senang bersama dan sepanjang tempoh berkenaan, apa sahaja yang diminta oleh mak akan ditunaikan ayah sehabis baik,” katanya.

Katanya, kini kehidupan mereka sekeluarga semakin baik dan ayah berhasrat untuk menunaikan impian Masramah menunaikan haji atau umrah.

“Disebabkan mak terjatuh dan terlantar serta sukar bergerak, selain pendemik Covid-19, hajat itu terpaksa ditangguhkan dahulu.

“Selepas mak meninggal du­nia, ayah berasa agak ralat ke­rana tidak dapat menunaikan impian mak. Ayah berhajat membuat badal haji untuk mak.

“Hasrat ayah itu kami adik-beradik akan tunaikan, namun kami akan buat untuk mereka berdua nanti,” katanya.

Jasad pasangan kekasih sejati itu dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Senama Hilir, di sini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI