EAST RUTHERFORD – Pengendali England, Thomas Tuchel memberi amaran bahawa skuad The Three Lions belum mencapai prestasi sebenar mereka biarpun mengesahkan status juara Kumpulan L Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Panama 2-0 di Stadium MetLife, pagi semalam.
Tuchel percaya anak buahnya masih memiliki banyak ruang untuk memperbaiki kelemahan dan memperagakan aksi yang cukup menyakinkan apabila saingan memasuki pusingan kalah mati.
“Kami mencipta banyak peluang dan berjaya menjaringkan dua gol. Saya percaya pasukan ini akan terus meningkat apabila saingan memasuki fasa kalah mati. Semakin besar cabaran yang menanti, semakin baik prestasi kami.
“Apapun, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki kerana kami perlu memastikan setiap aspek permainan berada pada tahap terbaik, terutama ketika bertahan dalam situasi satu lawan satu. Kini kejohanan sebenar bermula. Kami akan mengumpulkan semula kekuatan, tenaga dan semangat berpasukan,” katanya.
England menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri, sekali gus muncul juara Kumpulan L sekali gus mengelak bertembung dengan Portugal yang menjadi naib juara Kumpulan K pada pusingan 32 jika mereka sekadar berada di kedudukan kedua.
Jude Bellingham membuka tirai jaringan sebelum Harry Kane meledak gol ketiganya pada kejohanan kali ini untuk muncul penjaring terbanyak England dalam sejarah Piala Dunia dengan 11 gol, mengatasi rekod legenda Gary Lineker yang menjaringkan 10 gol.
Kejayaan mara ke Pusingan 32 menyaksikan England bakal turun menentang pasukan di kedudukan ketiga Kumpulan K yang menjadi miliki pasukan Republik Demokratik Congo. – AGENSI














