JURANG generasi masyarakat pada masa ini dilihat memberikan pendekatan dan pemikiran berbeza terutamanya melibatkan penggunaan teknologi terkini.
Generasi terdahulu dikenali Baby Boomers dilihat agak perlahan dalam teknologi berbanding generasi Alpha terdiri daripada mereka yang lahir dari tahun 2010 hingga 2025 dan menjadikan mereka anak pertama abad ke-21.
Dalam hal ini, mereka yang bekerja dalam bidang pemasaran perlu memikirkan kaedah berlainan dalam mendekati golongan terbabit untuk membeli produk dan perkhidmatan ditawarkan.
Justeru, perbezaan generasi ini, strategi pemasaran juga perlu diberikan penekanan terbaharu bagi menarik perhatian setiap individu terlibat.
———————————————————————————————————————————————————–
Oleh Afizan Amer
DI dunia sekarang ini, terdapat banyak ketidak sejajaran antara generasi dalam kehidupan yang semakin maju.
Ekoran perbezaan generasi ini, strategi pemasaran juga perlu diberikan penekanan terbaharu bagi menarik perhatian setiap individu terlibat.
Selain itu, strategi pemasaran pada era ini mempunyai cabaran yang harus diterima dari generasi yang berbeza.
Dunia kini mempunyai generasi Baby Boomer, X, Y, Z dan Alpha.
Setiap generasi mempunyai tahap kemampuan teknologi berbeza dan saling memahami antara satu sama lain.
Buat pertama kalinya, pada masa ini, lima kumpulan generasi hidup bersama dan telah meningkatkan kadar kecelaruan strategi pemasaran dalam kalangan pemain industri.
Setiap pelanggan dari setiap generasi mempunyai keunikan dan gaya hidup tersendiri.
Memahami pergeseran demografi secara kolektif di pasaran adalah kaedah paling asas untuk meramalkan arah strategi pemasaran.
Kita perlu memahami bahawa orang yang dilahirkan dan dibesarkan pada masa sama akan mengalami peristiwa dan kecenderungan yang sama.
Mereka juga akan memiliki sosio budaya yang sama dan memiliki satu set nilai, sikap, dan tingkah laku serupa.
Generasi Baby Boomers dilahirkan antara tahun 1946 dan 1964 dan remaja pada tahun 1960-an atau Boomers awal dibesarkan dalam keluarga tidak sibuk.
Namun, masa remaja mereka dihabiskan dalam ketegangan politik.
Akibatnya, mereka sering dikaitkan dengan gerakan politik seperti yang kita lihat di negara kita sekarang.
Semakin muda umur seseorang itu, semakin hilang minat mereka untuk berpolitik.
Banyak konsep bukan arus perdana seperti aktiviti sosial, persekitaran dan gaya hidup muncul di era ini.
Generasi X pula sekelompok manusia dilahirkan antara 1965 dan 1980.
Generasi ini mengalami pergolakan pada 1970-an dan ketidakpastian 1980-an semasa zaman kanak-kanak dan remaja mereka, tetapi memasuki tenaga kerja dalam keadaan ekonomi lebih baik.
Mereka dibesarkan dengan konsep ‘rakan dan keluarga’.
Anak-anak generasi X menghabiskan lebih sedikit masa dengan keluarga dan berinteraksi dengan rakan-rakan.
Sebagai kumpulan kelas menengah, generasi X mengalami peralihan awal teknologi.
Pada masa muda mereka, generasi X membesar dengan menonton video muzik di MTV dan mendengar kaset di Walkman.
Pada masa dewasa, mereka mengalami penggunaan cakera padat dan MP3 serta streaming audio untuk mendengar muzik.
Sementara itu, generasi Y dilahirkan antara tahun 1981 dan 1996 dan telah menjadi kumpulan paling banyak dibincangkan dalam beberapa dekad kebelakangan ini.
Merek adalah anak kepada Baby Boomers.
Itulah sebabnya mereka juga dikenali sebagai generasi Echo Boomer.

Secara amnya, mereka lebih berpendidikan dan memahami kepelbagaian budaya daripada generasi sebelumnya.
Mereka juga merupakan generasi pertama yang sangat berkaitan dengan penggunaan media sosial.
Tidak seperti generasi X yang pertama kali menggunakan internet di tempat kerja untuk tujuan profesional, mereka belajar tentang internet pada usia jauh lebih muda.
Manakala generasi Z adalah mereka yang lahir dari 1997 hingga 2009.
Dilahirkan ketika internet menjadi keutamaan, mereka dianggap sebagai generasi asal zaman digital.
Tidak mempunyai pengalaman hidup tanpa internet, mereka memandang teknologi digital sebagai bahagian yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan seharian.
Mereka selalu terhubung kepada internet melalui peranti digital untuk belajar, kemas kini berita, membeli-belah, selain rangkaian sosial.
Mereka menggunakan kandungan secara berterusan di pelbagai skrin, walaupun berada dalam situasi sosial.
Akibatnya, mereka hampir tidak melihat garis antara dunia online dan luar talian.
Terakhir, generasi Alpha terdiri daripada mereka yang lahir dari tahun 2010 hingga 2025 dan menjadikan mereka anak pertama abad ke-21.
Dicipta oleh Mark McCrindle, nama abjad Yunani, Alpha menandakan generasi baharu yang akan dibentuk oleh penumpuan teknologi.
Bukan sahaja penghuni asal generasi digital, mereka juga sangat dipengaruhi oleh tingkah laku digital ibu bapa mereka daripada generasi Y dan kakak-kakak daripada generasi Z.
Watak mereka sangat dibentuk dan dipengaruhi oleh gaya keibubapaan generasi Y.
Berkahwin pada usia lebih tua, generasi Y lebih memberi penekanan kepada membesarkan anak dan pendidikan.
Dalam pada itu, kehendak dan keperluan setiap generasi perlu difahami oleh para pengeluar barangan masa kini.
Ini memandangkan, setiap generasi itu mempunyai sikap berbeza terhadap sesuatu produk dan perkhidmatan.
———————————————————————————————————————————————————–
Afizan Amer ialah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Kampus Rembau, Universiti Teknologi Mara, Negeri Sembilan.
















