fbpx

Terima kasih warga pensyarah!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Forum Digitalisasi Pengajian Tinggi: Arah dan Cabaran bakal diadakan esok sempena sambutan Hari Akademia.

Oleh DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD, MENTERI PENGAJIAN TINGGI

KETIKA bergelar pelajar, saya telah mengikuti kelas kelolaan pensyarah yang berjaya menghidupkan mata pelajaran yang disampaikan.

Saya mempelajari sejarah bukan mengenai menghafal tarikh, sebaliknya ia menceritakan warisan masa lalu dan menghubungkannya dengan masa kini. Matematik pula tidak hanya mengenai nombor, tetapi ia adalah asas seni dan reka bentuk.

Sebagai Menteri Pengajian Tinggi, saya bertemu dengan para pensyarah yang memberikan inspirasi setiap hari. Mereka lebih dari sekadar pensyarah, malah seorang intelektual, penyelidik, inovator, penulis dan motivator yang mengabdikan hidup mereka untuk membentuk generasi seterusnya – modal insan negara kita.

Saya percaya mereka merupakan salah satu aset terbesar negara.

Menghargai sumbangan mereka dan bersempena dengan Hari Guru Sedunia yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1994, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengisytiharkan 5 Oktober sebagai Hari Akademia dan Oktober sebagai Bulan Akademik.

Pertama kali diraikan pada 2019, hari istimewa ini memberi penghormatan kepada pensyarah di institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti, institut latihan guru, kolej matrikulasi, juga institusi latihan teknikal dan vokasional.

Mereka menggalas tanggungjawab yang pelbagai. Selain mengajar, pensyarah melakukan aktiviti penyelidikan dan inovasi, projek kemasyarakatan dan perundingan serta tugas pentadbiran, selain memikul tanggungjawab menyelesaikan masalah sosial melalui pembentukan hubungan antara pemerintah, akademik, komuniti dan industri.

Noraini

Tema Hari Akademia tahun ini adalah Akademia Diperkasa, Digitalisasi Dibudaya, yang dipilih berdasarkan pengurusan sektor pendidikan tinggi terhadap pandemik Covid-19, ketika akademik harus berubah dari pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka kepada Pembelajaran Jarak Jauh Terbuka (ODL).

Memahami cabaran yang dihadapi dengan penggunaan ODL, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), bersama institusi pendidikan tinggi, syarikat telekomunikasi dan pihak swasta telah membimbing peralihan kepada ODL menerusi pelaksanaan inisiatif Pelan Data dan Pakej Peranti ke Institusi Pengajian Tinggi.

Memandangkan keperluan memanfaatkan teknologi digital semasa wabak, lebih 320,000 pelan data dan kira-kira 9,000 peranti telah diedarkan kepada pelajar dari kumpulan berpendapatan 40 peratus terbawah (B40).

RM50 juta diperuntukkan dalam Belanjawan 2021 untuk meningkatkan Jaringan Penyelidikan dan Pendidikan Malaysia (MyREN). Sambungan internet lebih pantas akan memastikan bahawa kualiti pendidikan tinggi yang disampaikan oleh pendidik kita tidak terganggu.

Pun begitu, dalam tempoh sukar kini, pensyarah kita terus mencipta kecemerlangan dalam melaksanakan peranan mereka sebagai penyelidik.

Tahun ini, 19 penyelidik Malaysia telah diiktiraf sebagai Highly Cited Researchers 2019 and 2020 oleh Clarivate, peneraju global dalam memberikan pandangan dan analitik yang dipercayai untuk mempercepatkan langkah inovasi.

Para penyelidik ini telah menerbitkan banyak makalah dalam jurnal pada peringkat teratas yang banyak dipetik oleh sarjana lain. Jumlah petikan daripada makalah mereka dalam kelompok satu peratus teratas dalam Web of Science (WoS) mengikut bidang masing-masing.

Bagi pihak KPT, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para pensyarah di IPT atas kerja keras dan sumbangan mereka.

Saya juga mengucapkan tahniah atas kejayaan mereka. Semoga dedikasi mereka terus memacu pembangunan negara kita dan Selamat Hari Akademia 2021!

Sambutan Hari Akademia tahun ini akan dianjurkan oleh KPT dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 5 Oktober 2021 (esok) pukul 10 pagi. Ia meliputi forum mengenai “Digitalisasi Pengajian Tinggi: Arah dan Cabaran” dan boleh diakses melalui laman media sosial rasmi KPT di https://www.mohe.gov.my/.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI