fbpx

Ain Radhiah tak malu jadi tauke sambal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GADIS Pesona Ahad minggu ini, Ain Radhiah tidak malu bergelar tauke sambal resepi sendiri.

SOSOK gadis Pesona Ahad pada minggu ini cukup istimewa.

Usianya baru menginjak 18 tahun, namun remaja bernama Ain Radhiah Abdul Rahim ini sudah merencana hala tuju masa depannya.

Mesra disapa Aira, anak kelahiran Segamat, Johor ini memilih bidang perniagaan dan peragaan untuk diterokai sebagai kerjaya.

Memiliki raut wajah yang manis dan mata yang menawan menjadi bonus buat Aira apabila sering menjadi pilihan untuk memperagakan persalinan pengantin, busana hari raya dan model bagi produk kecantikan.

Biarpun sibuk dalam bidang peragaan, Aira juga pandai memasak dan berjaya mencipta resepi air tangannya sendiri iaitu sambal ‘lado kawr’.

Kepada Kosmo! Ahad, Aira berkongsi serba sedikit mengenai dirinya serta rancangan masa depannya.

KOSMO! AHAD: Apa aktiviti Aira ketika ini?

AIRA: Saya menguruskan perniagaan keluarga menjual Nasi Beriyani Arab secara kecil-kecilan di Segamat. Sebelum ini saya menjadi model sambilan, namun aktiviti itu perlahan seketika di sebabkan Perintah Kawalan Pergerakan. Saya juga menjalankan perniagaan menjual pakaian terpakai dan juga sambal goreng.

Bagaimana permulaan karier dalam bidang peragaan?

Semuanya bermula ketika usia 14 tahun. Saya mengikuti kelas catwalk dengan niat untuk mencuba benda baharu. Selepas itu saya memberanikan diri menyertai pertandingan memperaga pakaian pengantin. Bermula dari situ, saya mendapat panggilan sebagai model pakaian pengantin, model untuk kanvas solekan dan produk kosmetik.

Siapakah pendorong semangat Aira?

Keluarga terutama ibu bapa menjadi tulang belakang dan sumber rujukan saya. Mereka banyak memberi semangat untuk terus maju ke hadapan. Saya sentiasa berbincang dan meminta pendapat mereka sebelum melakukan sesuatu. Alhamdulillah mereka sentiasa menerima apa sahaja yang saya lakukan dan memberi tunjuk ajar.

Keluarga berniaga nasi beriani, adakah Aira pandai memasak?

Mungkin sebab keluarga saya menjalankan perniagaan makanan jadi memasak sudah sebati dengan saya. Saya mengeluarkan produk makanan, sambal ‘lado kawr’ yang merupakan resepi sendiri. Saya mencipta dan mengolah sambal lada goreng pedas dan setakat ini sambutan amat menggalakkan.

Bakat terpendam Aira?

Saya meminati sukan sejak kecil. Pada usia 14 tahun, saya pernah terjatuh di sekolah semasa acara larian 200 meter hingga tulang retak dan tisu koyak. Doktor tidak membenarkan saya bersukan, sejak itu saya mencari minat lain dengan menceburi bidang peragaan. Saya juga boleh bersajak dan pernah mewakili sekolah hingga ke peringkat daerah.

Apa perancangan masa hadapan?

Semestinya mahu berjaya dengan ilmu, pengalaman dan menjadi kaya-raya supaya dapat membantu orang lain selain keluarga sendiri. Menyebarkan manfaat kepada orang lain. Saya juga bercadang untuk mempunyai syarikat dan produk sendiri.

Siapakah Aira dalam masa 10 tahun akan datang?

Insya-Allah seorang mungkin bergelar usahawan yang berjaya dalam bidang perniagaan dan memiliki syarikat sendiri. Saya akan menggunakan segala kepakaran dalam bidang yang pernah yang diceburi untuk dikongsi dengan anak-anak muda bagi menyuntik semangat agar lebih berwawasan. Saya akan membimbing mereka untuk menjadi insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI