fbpx

Bukan semua warga emas ada masalah memandu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Warga emas bukanlah golongan yang sering terlibat dengan kesalahan lalu lintas seperti yang didakwa dan mereka juga perlu mempunyai lesen memandu untuk bergerak bagi menguruskan kehidupan seharian.

Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM), Che Hassan Che Johan berkata, peratusan warga emas yang melakukan kesalahan lalu lintas boleh dibilang dengan jari walaupun tidak dinafikan masih ada golongan itu yang berbuat demikian.

Katanya, kepentingan lesen memandu untuk warga emas perlu dilihat daripada sudut menyeluruh walaupun ada di antara mereka yang masih mengendalikan kenderaan pada usia 70 tahun dan lebih.

“Ada kakitangan kerajaan berjawatan rendah dan tinggi yang sudah bersara masih perlu mencari rezeki selain mengharapkan duit pencen.

“Bagaimanapun pula bagi mereka yang bekerja kampung seperti menoreh getah dan ladang sawit yang perlu membawa kenderaan walaupun motosikal kapcai,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau mengulas mengenai cadangan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias yang mahu kerajaan mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas.

Menurut Azisman, cadangan itu dibuat susulan hasil kajian pihaknya mendapati peningkatan umur ketika memandu menjadi penyumbang kepada kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh masalah kesihatan dihadapi pemandu berusia.

Menurut Che Hassan, berdasarkan statistik April tahun lalu, kadar kematian membabitkan penunggang motosikal masih tinggi iaitu 3,118 daripada 4,634 kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh menunggang laju, tidak mematuhi lampu isyarat dan berlumba.

Tambahnya, ramai dalam kalangan mereka merupakan penghantar makanan yang dikatakan mengejar trip sehingga mengabaikan ciri-ciri keselamatan ketika berada di atas jalan raya.

“Kerajaan harus bertindak dengan memperketatkan syarat-syarat untuk penunggang motosikal terutamanya membabitkan penghantar makanan dengan memberi kursus kesedaran sebelum dibenarkan bekerja,” katanya.

Ujar Che Hassan, kerajaan juga wajar menggantung lesen memandu kepada mereka yang melanggar undang-undang jalan raya lebih dari tiga kali dan bukannya pukul rata kepada semua pengguna yang mengikut peraturan.

“Jika menyebabkan kematian berpunca daripada pengaruh arak dan dadah ketika memandu maka hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati mondatori patut dikenakan,” katanya.

Menurut Che Hassan, pihak berkuasa tak sepatutnya bimbang kepada warga emas yang masih sihat walaupun ramai yang telah meninggal dunia akibat Covid-19.

“Sebagai contoh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad masih boleh memandu dengan baik walaupun usianya telah mencecah 96 tahun,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI