fbpx

Rugi RM57,850 angkara dedah nombor TAC kepada ‘pegawai bank’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Wang tunai berjumlah RM57,850 milik seorang guru sebuah institusi swasta lesap angkara tindakannya mendedahkan maklumat akaun bank dan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) kepada ‘pegawai bank palsu’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, pada 22 September lalu, guru berusia 57 tahun itu telah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan pengesahan tentang pembelian melalui platform e-dagang berjumlah RM3,800.

“Bagaimanapun mangsa telah menafikan membuat pembelian tersebut dan telah menghubungi ‘pegawai bank’ melalui satu nombor telefon yang diberikan dalam mesej tersebut.

“Pegawai bank berkenaan telah meminta mangsa untuk mendedahkan maklumat akaun bank dan nombor TAC kepadanya dan mangsa menuruti arahan itu untuk tujuan siasatan oleh bank,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa telah membuat laporan polis pada 24 September lalu di Balai Polis Sentul sebaik menyedari dirinya ditipu apabila terdapat transaksi pindahan wang daripada akaun miliknya kepada tiga akaun pihak ketiga dan juga pindahan kepada akaun e-wallet Touch n Go.

Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan (tipu).

Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa membuat semakan terlebih dahulu apabila menerima pesanan ringkas daripada pihak bank dan tindakan menyalurkan maklumat perbankan dan kod keselamatan TAC kepada pihak ketiga akan menyebabkan akaun perbankan terdedah kepada penggunaan yang tidak sah.

Sebarang jenayah ataupun aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI