fbpx
Lima kenderaan pacuan empat roda disita Jabatan Perhutanan negeri Perak kerana menceroboh hutan simpan di daerah Hulu Perak.

11 ditahan ceroboh hutan untuk berkelah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Seramai 11 individu termasuk seorang wanita ditahan selepas dikesan menceroboh Hutan Simpan (HS) Amanjaya di daerah Hulu Perak awal pagi tadi.

Kesemua mereka berusia antara 25 hingga 63 tahun yang menaiki lima kenderaan pacuan empat roda ditahan di dalam hutan itu kira-kira pukul 1 pagi.

Jabatan Perhutanan negeri Perak dalam satu kenyataannya memberitahu, siasatan awal mendapati mereka telah memasuki hutan tersebut dan sedang menuju ke Hutan Simpan Temenggor bagi aktiviti perkelahan.

“Semalam, Pejabat Hutan Daerah Hulu Perak menerima satu maklumat berkaitan aktiviti pemanduan lasak kenderaan pacuan empat roda di dalam hutan tersebut.

“Sepasukan penguat kuasa dari Pejabat Hutan Daerah Hulu Perak kemudian menjalankan pemantauan di kawasan yang disyaki dimasuki kumpulan tersebut,” ujar kenyataan itu.

Kesemua individu tersebut didapati melakukan kesalahan kerana memasuki Hutan Simpanan Kekal (HSK) tanpa kebenaran setelah gagal mengemukakan sebarang dokumen.

Mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan polis manakala semua lima kenderaan pacuan empat roda disita dan dibawa ke stor rampasan bandariang.

“Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 47(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 iaitu kesalahan memasuki HSK tanpa permit.

“Hukuman denda sehingga RM10,000, penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan jika sabit kesalahan,” ujar kenyataan itu. -K! ONLINE.

POPULAR