PELBAGAI cara dilakukan orang ramai untuk kekal sihat termasuk mengurut badan bagi membetulkan urat saraf yang dikatakan tersimpul dan permintaan terhadap tukang urut tradisonal semakin tinggi.
Di Johor, terdapat proses urutan badan yang lain daripada lain apabila menggunakan tanduk kerbau dikenali sebagai guasa iaitu satu kaedah rawatan terapi yang mula diperkenalkan masyarakat keturunan Tiong Hwa sejak Dinasti Tang antara tahun 618 hingga 907.
Ia diamalkan sebagai terapi merehatkan badan, mengesan penyakit dan merawat penyakit.
Guasa dikatakan boleh membuang toksin dalam badan untuk kekal sihat. Hanya dua bulan mengamalkan terapi guasa, pemulihan kesihatan dapat dilihat.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
KERBAU atau nama saintifiknya Bubalus merupakan sejenis haiwan mamalia ruminan yang dikatakan berasal dari beberapa tempat di dunia antaranya Asia Selatan, Asia Tenggara dan China. Lazimnya, di Asia Tenggara termasuk Malaysia, kerbau digunakan petani sebagai jentera bagi membajak di tanah pertanian terutamanya sawah padi.
Selain menjadi sumber protein menerusi dagingnya yang dijadikan makanan serta susu, tanduk kerbau juga menjadi buruan kerana begitu bernilai antaranya untuk pembuatan alat urutan tradisional, guasa.
Guasa merupakan satu kaedah rawatan yang mula diperkenalkan masyarakat berketurunan Tionghoa sejak Dinasti Tang iaitu antara tahun 618 hingga 907 Masihi. Gua bermaksud gesek dan sa pula ialah tempat yang sakit.
Guasa diamalkan sebagai terapi merehatkan badan, mengesan penyakit dan merawat penyakit.

Kaedah ini dilihat sebagai terapi pembaharuan molekul yang merangsang pembekalan oksigen, menyingkirkan toksin dan melancarkan pengaliran darah ke seluruh tubuh.
Urutan dilakukan menggunakan alatan seperti papan yang diperbuat daripada tanduk kerbau. Secara umumnya, fungsi terapi ini boleh dikatakan menyamai akupunktur dan bekam.
Khidmat pakar terapi guasa juga bahkan digunakan dalam perubatan sukan antarabangsa.
Di Malaysia, kaedah terapi ini semakin popular dalam kalangan masyarakat Melayu dan India, malah peralatan mengurut ini dijual di kedai perubatan tradisional mahupun di platform perniagaan online.
Tidak ramai yang mahir membuat alat guasa ini, namun kru Panorama berjaya menjejaki seorang pembuat peralatan dan tukang urut guasa di Johor Bahru, Johor.
Ketika mengunjungi rumahnya yang terletak di Taman Perling, senyuman manis terukir di wajah lelaki bernama Wong Soo Long, 50, kala menyambut kedatangan kami.
Segalanya sudah tersedia, daripada tanduk kerbau yang belum diproses sehinggalah yang sudah siap mempunyai ukiran-ukiran tersendiri mengikut jenis atau telah diletakkan tanda harga dipamerkan di atas meja.
Menurut Soo Long, dia mula berjinak-jinak dengan seni pembuatan dan ukiran peralatan urut itu sejak lima tahun lalu.
“Mula-mula saya mengikuti kelas belajar mengurut secara tradisional di Batu Pahat, Johor. Semasa belajar, saya diajar menggunakan teknik urutan guasa.
“Saya terfikir macam mana guasa ini dibuat, saya ada buat rujukan di laman sosial seperti Facebook, YouTube dan lain-lain sumber, akhirnya saya mendapat jawapan, papan yang digunakan untuk mengurut itu rupanya diperbuat daripada tanduk kerbau,” katanya.

Lelaki yang masih bujang itu tidak berlengah lagi terus melakukan eksperimen sendiri untuk menghasilkan peralatan mengurut menggunakan tanduk kerbau.
Menurutnya, bekalan tanduk kerbau diperoleh daripada petani dari Terengganu, Kedah, Perlis serta Perak.
“Saya beli tanduk kerbau ini dengan pelbagai saiz bermula 6 sentimeter (sm) sehinggalah 30sm atau sekaki dengan harga dari RM80 sehingga RM400.
“Kebiasaannya, stok yang saya dapat ini adalah tanduk kerbau yang dibela petani dan agak murah sikit, kalau kerbau liar lagi mahal boleh mencecah RM800 sekaki. Tanduk kerbau liar mahal sebab tanduk tebal dan padat selain stoknya payah nak dapat,” katanya.
Bercerita lanjut, Soo Long berkata, bagi menghasilkan guasa bersaiz kecil mengambil masa paling minimum sejam, manakala bagi bersaiz besar boleh sehingga dua minggu.
Ukiran yang direka juga mengikut saiz dan bentuknya disesuaikan mengikut urutan bahagian tubuh badan berbeza.
“Kalau guasa saiz kecil biasanya digunakan untuk mengurut bahagian badan hadapan, manakala guasa bersaiz besar pula saya buat khas untuk urutan bahagian belakang badan,” katanya.
Sehingga kini, lebih 5,000 unit guasa sudah dihasilkan Soo Long dan alat guasa buatannya bukan sahaja mendapat permintaan di dalam negara, malah turut terbang ke Singapura, Hong Kong serta Taiwan.
Menurutnya, guasa tanduk kerbau yang paling mahal pernah dihasilkannya bernilai RM1,500 yang ditempah khas daripada seorang peminat dari Hong Kong.
Menyentuh mengenai penggunaan alatan guasa tanduk kerbau, seorang jurulatih fizikal yang juga pengamal urutan guasa, Nur Syahiran Nordin, 37, berkata, urutan guasa daripada tanduk kerbau itu dipercayai lebih bagus daripada peralatan urutan plastik.
“Penggunaan bahan plastik yang bersifat elektrostatik mungkin mengganggu fungsi tubuh sedangkan guasa tanduk kerbau berbeza kerana dihasilkan menggunakan bahan asli yang berkait rapat dengan alam.
“Penggunaan papan yang diperbuat daripada tanduk kerbau dipilih kerana mengikut kajian perubatan Cina, ia mempunyai elemen sejuk. Dalam masyarakat Cina, menerusi konsep keharmonian bertentangan yin dan yang, badan disifatkan sebagai panas,” katanya.
Menurut Nur Syahiran yang sudah lebih 10 tahun menjalankan perkhidmatan urutan tradisional, guasa bertindak seperti mengenal pasti titik-titik bahagian tubuh dalam akupunktur, namun lebih mudah.
Tidak mencari titik-titik, guasa sebaliknya dilakukan dengan gesekan pada meridian titik iaitu garisan yang menghubungkan titik-titik pada bahagian badan.
Tambahnya, terapi asas guasa dapat melegakan tekanan tubuh kerana berupaya menyingkirkan toksin berupa sel-sel mati yang terhimpun pada tubuh dan mengganggu pengaliran darah.
Ujar Nur Syahiran, terapi asas dimulakan dengan gesekan pada bahagian kepala menghala dari belakang ke depan bermula bahagian atas tengah, diikuti kiri dan kanan kepala.
Katanya, gesekan dilakukan pada setiap bahagian antara 20 hingga 30 kali. Jika gesekan lancar menunjukkan pesakit tidak ada masalah penyakit kepala seperti migrain.
Kemudian beralih ke bahagian belakang tubuh badan dengan gesekan dilakukan pada tulang belakang dari atas ke bawah.

“Selepas selesai bahagian tulang belakang, ambil jarak dalam dua jari ke kiri badan dan lakukan gesekan pada bahagian tersebut membentuk garisan selari dengan garisan tulang belakang tadi. Selepas itu, ambil jarak dua jari ke kanan badan dan buat perkara yang sama.
“Bintik-bintik merah gelap dan lebam menunjukkan adanya penyakit yang lebih serius. Misalnya, jika terdapat warna merah yang sangat teruk di garisan kanan badan, ini menunjukkan pesakit ada masalah paru-paru, manakala pada bahagian kiri badan pula menunjukkan masalah jantung,” katanya.
Selepas itu, buat urutan terapi guasa pada bahagian bahu dengan gerakan dari dalam ke luar bermula dengan bahu kiri dan kemudian bahu kanan. Kawasan ini pula nmenunjukkan masalah usus.
Menurutnya, sesi urutan terapi penuh mengambil masa kira-kira 30 hingga 45 minit.
“Akibat urutan itu akan menghasilkan garis-garis merah seperti birat. Walaupun nampak seperti birat, namun ia tidak pedih apabila disentuh atau terkena air.
“Jika kesan merah lebih pekat dan hitam, pelanggan tersebut mempunyai masalah kesihatan dan kita akan memberi nasihat supaya mereka rujuk kepada doktor perubatan bagi mendapatkan status kesihatan,” katanya.














