SIAPA tidak sedih rumah tangga yang dibina atas dasar cinta terlerai begitu sahaja gara-gara suami terjebak dengan ketagihan air ketum.
Suami yang sebelum ini bersikap penyayang dan dapat mengawal kemarahan berlaku sebaliknya selepas kemaruh meminum air ketum yang kononnya boleh mengekalkan tenaga selepas seharian penat bekerja keras.
Itu yang berlaku kepada Ina (bukan nama sebenar) dalam kisah rumah tangga menerusi kolum Dari Mahkamah Syariah minggu ini hinggakan banyak wang dihabiskan untuk meneguk air ketum. Lebih menyedihkan, suaminya tergamak menggadai gelang emas perkahwinan mereka.
—————————————————————————————————————————-
MENDIRIKAN rumah tangga dengan jejaka idaman hati membuka satu sinar kebahagiaan buat Ina (bukan nama sebenar) biarpun kedua-dua pasangan tersebut tidak berpendidikan tinggi.
Dia dan suami, Bakar (bukan nama sebenar) yang bernikah pada usia yang agak muda hanya melakukan kerja-kerja kampung termasuk menguruskan sawah padi milik keluarga bagi menampung kehidupan dan keperluan seharian.
Pada awal perkahwinan, kehidupan mereka berdua bahagia biarpun tidak semewah rakan-rakan yang berkelulusan tinggi.
Namun, selepas perkahwinan memasuki usia dua tahun, Ina mendapati perubahan ketara pada suaminya yang bertukar menjadi seorang cepat panas baran.
Setelah diselidiki, wanita itu mendapati perubahan sikap suaminya itu disebabkan ketagih air ketum yang mudah diperoleh di kampungnya yang terletak di sebuah negeri di utara Semenanjung.
“Sebelum ini, Bakar adalah seorang suami yang baik dan penyayang. Saya tidak tahu pula sejak bila dia mula pandai minum air ketum hingga menjadikan dia seorang pemarah.
“Bukan itu sahaja, selain ketagihan ketum, dia juga kuat merokok berbanding sebelum ini,” jelas Ina dalam nada sayu.
Lebih membimbangkan Ina, suaminya itu dahulu yang agak ‘berisi’, tetapi setelah ketagih minuman tersebut, tubuhnya susut dengan ketara.
Di kampung tersebut jelas Ina, ada beberapa orang pemuda yang menjual air ketum secara sembunyi kerana bimbang ditangkap pihak berkuasa dan hanya orang-orang tertentu yang tahu dan menjadi pelanggan tetap mereka.
“Peti sejuk di rumah saya penuh dengan stok air ketum. Ada sekali saya pernah membuang minuman itu yang disimpan Bakar.
“Akhirnya saya dimarah dan kami bergaduh sehingga dia memukul saya,” katanya.
Bukan tidak pernah meminta suaminya membuang tabiat meminum air ketum jelas wanita itu, tetapi Bakar sering memberikan alasan bahawa pengambilan minuman berkenaan memberinya tenaga memandangkan dia melakukan kerja berat seharian.
Dalam pada itu, disebabkan ketagihah air ketum, pasangan terbabit mengalami masalah kewangan yang agak kritikal kerana wang hasil pekerjaan Bakar dihabiskan untuk minuman tersebut.
Lebih parah jelas Ina, wang yang sepatutnya digunakan untuk membayar sewa rumah turut dihabiskan suaminya semata-mata untuk meneguk ketum. Dia terpaksa tebalkan muka meminjam wang kepada keluarganya untuk membayar sewa rumah.

“Akibat pengaruh ketum juga, Bakar sering berjaga malam dan keesokan harinya dia akan tidur sepanjang hari.
“Ada ketikanya suami meminjam wang daripada saya untuk membeli ketum. Jika tidak diberi, dia akan mengamuk dan mengherdik saya,” tegasnya.
Tambahnya, suaminya juga semakin malas bekerja dan jika ada masa terluang dia sering melepak dengan kawan-kawannya sambil minum ketum.
Tidak tahan dengan sikap suaminya itu, Ina nekad menceritakan perkara itu kepada orang tuanya.
Ayahnya berjumpa Bakar memintanya berubah demi kebaikan keluarga.
Ekoran itu, suaminya mengamuk seperti gajah ‘naik minyak’ dan Ina menjadi mangsa pukul hingga menyebabkan anggota badannya lebam.
Kemuncak kesabaran Ina akhirnya meletus juga apabila suaminya sanggup menggadai gelang perkahwinan mereka semata-mata kemaruk dengan minuman ketum.
“Satu hari, suami meminta wang, tetapi saya tidak memberinya kerana saya sendiri tiada wang. Akhirnya dia mengambil gelang perkahwinan kami untuk digadai.
“Pada ketika itu, kami bergaduh besar dan saya hilang sabar dan memintanya untuk melepaskan saya kerana sudah tidak sanggup hidup dengan lelaki yang tidak memikirkan masa hadapan keluarga,” jelasnya.
Cerita Ina, suaminya tidak mahu melepaskannya dan dia akhirnya mengambil keputusan pulang ke rumah keluarga dan menceritakan semua yang berlaku kepada keluarga serta keinginannya untuk bercerai.
Akhirnya Ina memohon membubarkan perkahwinan mereka secara fasakh kerana dia berasakan suaminya telah menzalimi dirinya.
Dengan bukti yang dikemukakan Ina, akhirnya mereka berdua sah bercerai di sebuah mahkamah syariah.















