fbpx
PSA berjaya capai imuniti kelompok kakitangan dan pelajarnya.

PSA capai imuniti, bersedia terima kemasukan pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) berjaya mencapai imuniti kelompok di kalangan kakitangan dan pelajarnya.

Pengarah PSA, Dr. Mohd. Zahari Ismail berkata, berdasarkan rekod seramai 97.57 peratus daripada 411 kakitangan telah lengkap vaksinasi manakala 86.71 peratus daripada 3,069 pelajar turut telah menerima dua suntikan dos vaksin.

Katanya, kejayaan ini adalah hasil inisiatif kerjasama pihaknya dengan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) daerah Petaling di samping kesedaran kakitangan dan para pelajar sendiri untuk mendapatkan vaksinasi.

“PSA melalui Jawatankuasa Pengurusan Krisis Covid-19 giat menjalankan pelbagai usaha untuk mencapai imuniti kelompok bagi menjadikannya sebagai kampus selamat serta bersedia menerima kemasukan pelajar bermula 15 Oktober ini.

“Mengenai vaksinasi, para penyarah mengambil inisiatif menghubungi para pelajar bagi memastikan data pelajar dilengkapkan bagi tujuan memudahkan pemantauan dan perekodan. Namun, kita tidak memaksa para pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, PSA turut dilantik sebagai penyelaras peringkat negeri Selangor bagi program vaksinasi Politeknik dan Kolej Komuniti melibatkan 11 institusi.

Beliau memberitahu, pihaknya sentiasa berhubung dengan para pelajar secara dalam talian melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pelbagai program yang dijalankan PSA.

Jelas Mohd. Zahari, pihaknya berharap para pelajar bersedia untuk kembali semula ke kampus dengan mematuhi sop dan norma baharu.

“Kita juga berharap mereka tidak terpengaruh dengan sebarang mitos mengenai vaksin kerana kajian pakar telah membuktikan kepentingan dan keberkesanannya,” katanya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

POPULAR