fbpx

Kerajaan teruskan rayuan isu kerakyatan automatik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamzah.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan meneruskan rayuan dan permohonan penangguhan pelaksanaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan kewarganegaraan automatik diberikan kepada kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia dengan pasangan warga asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan itu bagi mengelak kerajaan daripada dikenakan tindakan menghina mahkamah dan pada masa sama mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah membincangkan dua keputusan Mahkamah Tinggi berhubung isu kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang kepada anak yang lahir di luar negara hasil perkahwinan wanita warganegara Malaysia dengan pasangan warganegara asing.

“Terdapat dua keputusan mahkamah yang berbeza, iaitu kes Suriani Kempe dan Enam Lagi lawan Kerajaan Malaysia serta kes Mahisha Sulaiha Abdul Majeed lawan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara dan Dua Lagi mengenai pentafsiran ‘bapa’ dalam Jadual Kedua Bahagian II seksyen 1(b) dan 1(c) Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam kes Mahisha Sulaiha Abdul Majeed yang diputuskan pada 21 Mei lalu, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyebelahi kerajaan, manakala bagi kes Suriani Kempe dan Enam Lagi, tidak menyebelahi kerajaan”, katanya pada sidang akhbar penguatkuasaan dan pematuhan SOP Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Hamzah berkata, bagi kes Mahisha Sulaiha Abdul Majeed, penama itu sudah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan dan akan dibicarakan pada November ini.

“Selepas mengambil kira keputusan penghakiman yang berbeza dalam kedua-dua kes terbabit dan prosiding mahkamah dalam kes Mahisha Sulaiha Abdul Majeed yang masih berjalan di peringkat Mahkamah Rayuan, Jemaah Menteri bersetuju untuk meneruskan rayuan dan permohonan penangguhan pelaksanaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Suriani Kempe dan Enam Lagi.

“Jemaah Menteri sudah meminta Peguam Negara untuk membawa perkara berkaitan dengan isu kewarganegaraan terbabit kepada Timbalan Yang di-Pertuan Agong dalam waktu terdekat,” tegasnya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI