fbpx

Dadah RM1 juta dirampas, lima suspek ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Latif (tengah) menunjukkan dadah jenis Methamphetamine yang berjaya dirampas ketika sidang akhbar, hari ini. /FOTO MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

SEREMBAN – Kegiatan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menyasarkan pasaran negara jiran Indonesia berjaya ditumpaskan dengan penahanan lima suspek dan rampasan dadah keseluruhan dianggarkan bernilai RM1 juta.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, hasil maklumat dan intipan yang dilakukan sepasukan anggota dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM telah menahan sebuah kereta Proton Saga yang dinaiki dua suspek berhadapan sebuah hotel di Puchong, Selangor pada 13 September lalu.

“Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, kedua-dua suspek telah melanggar kenderaan pegawai JKDM sebelum melarikan diri dengan keluar dari kereta.

“Anggota JKDM terus mengejar kedua-dua suspek dan berjaya menahan salah seorang daripada mereka iaitu lelaki warga Indonesia berusia 31 tahun yang bersembunyi di sebuah kedai manakala seorang lagi suspek berjaya melarikan diri,” katanya dalam sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Kampung Jijan, Nilai di sini hari ini.

Jelasnya, hasil pemeriksaan ke atas ruang penyimpanan belakang kenderaan Proton Saga itu menemui dua buah beg galas yang di dalamnya berisi bungkusan teh berwarna hijau.

“Siasatan lanjut mendapati bungkusan teh itu mengandungi ketulan mampat bahan kristal jernih disyaki dadah jenis Methamphetamine (Syabu) seberat 28 kilogram dengan anggaran nilai RM1 juta dipercayai untuk pasaran negara jiran Indonesia.

“Kenderaan yang digunakan oleh sindiket ini juga disyaki kenderaan curi hasil semakan dengan pihak Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket tersebut ialah menyembunyikan dadah dalam guni sebelum diisikan dalam beg galas dan mereka sentiasa menukar kenderaan untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu. -K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI