fbpx
Datuk Husam Musa

Saman fitnah Husam terhadap Masri kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan saman fitnah bekas Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa terhadap seorang bekas pengetua sekolah agama di Kelantan.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Suraya Othman yang bersidang bersama Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak dan Datuk Lee Heng Cheong selepas menolak rayuan Masri Che Yusoff dengan kos RM15,000.

Mahkamah berpuas hati bahawa rayuan tersebut tiada merit kerana Mahkamah Tinggi telah mencapai dapatan yang betul ketika membenarkan saman fitnah yang difailkan oleh Husam.

Panel itu bagaimanapun tidak mendengar rayuan berhubung jumlah ganti rugi yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Ketika membacakan keputusan tersebut, Hakim Suraya menyatakan, isu yang dibangkitkan oleh perayu di hadapan panel itu adalah hakim bicara tidak membuat dapatan yang spesifik berhubung kenyataan fitnah.

Bagaimanapun, ujar beliau, panel itu berpuas hati bahawa hakim bicara telah membuat dapatan berhubung kenyataan memfitnah seperti yang digariskan dalam beberapa perenggan yang terkandung dalam alasan penghakimannya.

Menurut Hakim Suraya, hakim bicara menyatakan kenyataan  itu bermaksud bahawa Husam (plaintif) mempunyai kepentingan peribadi terhadap tiga lot tanah dan telah melakukan penyelewengan, pecah amanah dan menyalahgunakan kedudukannya sebagai Exco Kelantan.

Mahkamah turut berpuas hati, hakim bicara telah menilai keterangan saksi-saksi semasa perbicaraan dan berpendapat Masri selaku defendan gagal membuktikan pembelaan berhubung justifikasi. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

POPULAR