fbpx

Peguam gagal cabar kesahan pengampunan penuh kes liwat Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan saman pemula seorang peguam untuk mencabar kesahan pengampunan penuh yang diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan nasihat Lembaga Pengampunan berhubung kes liwat melibatkan bekas pembantu peribadinya.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Has Zanah Mehat yang bersidang bersama Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak dan Datuk Lee Heng Cheong selepas membenarkan rayuan Anwar dan Lembaga Pengampunan, tanpa kos.

Mahkamah berpuas hati rayuan kedua-duanya mempunyai merit kerana saman pemula yang dikemukakan oleh Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz jelas tidak dapat dipertahankan kerana ia tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah.

Sehubungan itu, panel berkenaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Presiden PKR itu dan Lembaga Pengampunan untuk membatalkan saman pemula tersebut.

Hakim Has Zanah ketika menyampaikan keputusan itu menyatakan, Mahkamah Tinggi terkhilaf kerana tidak mematuhi senarai autoriti Mahkamah Persekutuan terdahulu bahawa keputusan Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan merupakan kuasa prerogatif yang tidak boleh dipertikai atau disahkan di mahkamah.

Pada hemat panel itu, mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar prosiding pertikaian seperti itu kerana kuasa pengampunan termaktub di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang mana ia tidak terhad kepada hukuman, malah turut melibatkan sabitan.

Hakim Has Zanah turut menyatakan peguam itu tiada hak di sisi undang-undang (locus standi) untuk mempersoal pengampunan penuh yang diberikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertauan Agong kepada Anwar.

Mahkamah berpendapat, proses pengampunan itu tidak dalam mana-mana cara menyerang atau memberi kesan kepada kepentingan peribadi mahupun haknya di sisi undang-undang.

Berhubung isu komposisi Lembaga Pengampunan, mahkamah berpuas hati bahawa ia ditubuhkan secara sah di bawah Perkara 42.

Pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian, peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram berhujah bagi pihak Anwar, Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili Lembaga Pengampunan manakala Mohamed Haniff Khatri Abdula mewakili Mohd. Khairul Azam. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI